Bentley mula keluarkan teaser Flying Spur baharu

Bentley telah mula mengeluarkan teaser untuk model Flying Spur serba baru generasi ketiga, yang sebenarnya adalah versi Continental GT empat pintu, yang akan diperkenalkan secara rasmi hujung tahun ini. Sehingga kini, pengeluar itu cuma baru mengeluarkan lukisan bayang kenderaan tersebut, serta video yang menunjukkan logo hiasan yang boleh masuk dan keluar daripada hud.

Melalui lukisan tersebut, anda boleh melihat garis yang membina karekter kenderaan ini, yang turut menampakkan bonet panjang serta bahagian belakang yang mempunyai sedikit bonjolan pada hujung but. Tanda-tanda ini juga boleh dilihat pada beberapa spyshot Flying Spur baru ini, manakala bahagian depannya lebih mirip kepada Continental GT. Bahagian lain lebih kepada evolusi daripada model generasi sebelumnya.

Ciri mewah ada kalanya tertumpu pada perincian, dan Flying Spur baru ini nanti pasti akan mengetengahkan benda yang sama. Logo hiasan di depan itu contohnya, mempunyai sayap berlampu untuk menyerlahkan lagi penampilan visualnya, dan sirip yang terperinci. Bahagian dalam kenderaan masih lagi tidak pernah dilihat tetapi pastinya ia akan dilengkapi dengan hasil kerja berkualiti tinggi.

Untuk enjin, Flying Spur baru ini dijangka datang dengan enjin W12 6.0 liter twin-turbo, yang juga digunakan pada Continental GT dan Bentayga. Berkemungkinan juga model V8 akan diperkenal, sebagai pilihan bagi mereka yang tidak mampu memiliki model berenjin 12 silinder.

Sebagai tambahan, kenderaan yang dibangunkan juga memberi petunjuk bahawa versi plug-in hybrid untuk Flying Spur ini akan ditawarkan, yang mana ia mungkin menggunakan pakej kuasa sama seperti Porsche Panamera Turbo S E-Hybrid.

Source: Read Full Article