Ford Mustang facelift bakal muncul di KLIMS 2018

Selain Toyota Camry 2.5V 2019, Ford Mustang facelift 2018 juga akan membuat penampilan sulung di KLIMS 2018 yang akan bermula minggu depan. Gambar unit warna Orange Fury 5.0L GT inilah yang akan dipamerkan nanti, dan dibawa khas untuk pameran berkenaan.

Pengedar jenama ini, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) belum mengesahkan bila model ini akan dijual secara rasmi untuk pasaran tempatan. Tetapi, berdasarkan perkembangan sebelum ini, kedua-dua versi 5.0L GT dan 2.3L EcoBoost versi facelift akan dijual di sini.

Menurut SDAC, pengambilan tempahannya akan dilakukan di KLIMS. Walaupun harga belum diumumkan, ia dijangka tidak lari jauh berbanding sebelumnya. Diumumkan Januari tahun lalu, penampilan Mustang terbaru ini mengalami beberapa perubahan – rekaan gril, bampar dan fender depan serta bonet depan diberikan sentuhan baru.

Model facelift ini menggunakan lampu depan LED sepenuhnya, lengkap dengan lampu siangnya sekali. Di belakang, rekaan lampu LED juga baru, diikuti bahagian bampar, diffuser hitam baru dan susunan hujung ekzos yang dikemaskini – versi EcoBoost menerima hujung ekzos berkembar, sementara GT hadir dengan empat corong.

Ruang dalaman pula diberikan sentuhan lebih premium. Konsol tengah misalnya datang dengan balutan tangan dengan benang kontras, sementara penyudah bahagian pemegang pintu serta kemasan perincian lainnya daripada aluminium.

Selain daripada paparan 8.0-inci dengan sistem infotainmen Sync 3, Mustang kini juga dilengkapi dengan kluster instrumen digital 12-inci dengan tema boleh ubah berdasarkan mod pemanduan – Normal, Sport dan Track serta MyMode (pemandu tentukan sendiri kombinasi talaan yang diinginkan).



Enjin pula masih sama, dengan unit 2.3 liter EcoBoost dan 5.0L Coyote V8 terdahulu – tetapi dengan angka janaan kuasa yang dipertingkat. Antara pembaharuan yang dilakukan ialah penggunaan sistem suntikan terus tekanan tinggi berkembar serta port suntikan minyak tekanan rendah yang baru bagi V8.

Di pasaran Amerika, janaan kuasa yang dihasilkan ialah 460 hp dan 569 Nm; naik sedikit berbanding model sedia ada (435 hp/542 Nm). Namun, pasaran Malaysia mungkin akan menerima versi output 453 hp dan 556 Nm seperti di Australia.

Bagi enjin 2.3L EcoBoost, kuasanya sama seperti sebelum ini (310 hp), tetapi tork naik sedikit kepada 475 Nm berbanding 434 Nm dahulu. Unit di Australia pula menerima unit yang menjana 441 Nm. Perubahan paling utama ialah penggunaan sistem transmisi 10R80 10-kelajuan dari Ford yang menggantikan unit 6R80 SelectShift enam-kelajuan dari ZF.



Lagi ciri baru termasuk mod Drag Strip, yang bertindak mengelakkan kehilangan masa ketika penukaran gear, serta menggabungkan mod Normal, Sport+, Track dan Snow/Wet yang ada. Peningkatan mekanikal lainnya termasuk penggunaan penyerap hentak baru yang memberikan kendalian lebih padu, serta penggunaan sambungan pasak bersilang pada suspensi belakang untuk meningkatkan keteguhan lateral.

Turut diperkenalkan ialah sistem ekzos dengan injap aktif, standard pada versi GT, yang membolehkan nada ekzos diubah. Unit yang akan dipamerkan seperti yang anda lihat ini hadir sekali dengan pakej GT Performance. Ini antaranya termasuk di dalamnya ialah rim 19-inci Ebony Black dengan tayar Michelin Pilot Sport 4S bersaiz 255/40 di depan dan 275/40 di belakang.

Source: Read Full Article