Honda Super Cub x G-Shock – terhad 1,000 unit sahaja

Honda dengan kerjasama Casio telah menghasilkan satu model jam tangan edisi khas bagi menyambut ulang tahun Super Cub yang kini sudah mencecah usia 60 tahun. Mula dikeluarkan pada tahun 1958, Super Cub cukup popular kerana ketahanannya dan di kalangan pengguna, ia sekarang sudah dianggap sebagai satu lagenda.

Pelbagai perkara dilakukan oleh Honda untuk meraikan Super Cub, dan jam tangan Casio G-Shock yang terhad hanya 1,000 unit ini adalah yang terbaru. Walaupun ulang tahun ini disambut pada tahun 2018, jam ini baru sahaja diumumkan dan hanya akan mula dijual pada bulan April tahun 2019.

Model asas yang digunakan untuk model Super Cub x G-Shock ini adalah DW-5600E-1, di mana ia terkenal di kalangan penggemar G-Shock sebagai seutas jam tangan yang ringkas dan lasak. Sudah tentu, sebagai sebuah model kolaborasi, penampilannya diubah supaya menjadi lebih istimewa.



Pada bahagian tali terdapat pelbagai logo yang pernah digunakan pada Super Cub, serta bentuk motosikal yang menggunakan warna putih, manakala cogan kata terkenal Super Cub iaitu Nicest People diwarnakan merah. Di bahagian belakang jam, terdapat pula ukiran khas ulang tahun Super Cub berserta logonya.

Bahagian skrin EL model kolaborasi ini juga agak unik. Dalam keadaan biasa, anda boleh melihat hiasan putih di sekelilingnya bersama logo Honda dan Super Cub berwarna merah, manakala apabila lampu ditekan (warna biru), muka motosikal Super Cub pula akan muncul (warna merah). Menurut informasi yang kami terima, jam ini akan dijual pada harga 14,040 yen (RM531) dan tempahan boleh dibuat di wakil pengedar motosikal Honda di Jepun.

Source: Read Full Article