JPJeBid dilaksana sepenuhnya di KL mulai Julai ini – dipertimbangkan untuk negeri lain secara berperingkat

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan sistem bidaan nombor pendaftaran kenderaan dalam talian JPJeBid akan diguna sepenuhnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mulai 3 Julai ini. Ia akan dimulakan dengan nombor pendaftaran VDP.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Shaharuddin Khalid, sejak projek perintisnya dilaksanakan bagi nombor pendaftaran khas untuk Putrajaya iaitu FC pada April lepas, ia menampakkan perkembangan yang memberangsangkan.

“Malah pada Jun lalu, JPJeBid ini sekali lagi digunakan untuk nombor Wilayah Persekutuan siri VDN dan kami berpuas hati dengan kelancaran sistem berkenaan yang tidak berdepan dengan masalah akses walaupun pernah merekodkan lebih 8,000 transaksi menjelang tempoh akhir bidaan,” ujarnya dalam sidang media mengenai keputusan JPJeBid bagi siri VDN semalam.

Shaharuddin berkata seramai 903 pembida menggunakan sistem JPJeBid bagi siri VDN itu, dengan bidaan tertinggi adalah sebanyak RM158,000 untuk nombor bernilai utama, VDN1. Daripada 903 pembida itu, 463 daripadanya berjaya dalam bidaan masing-masing, sekaligus membawa hasil kutipan keseluruhan RM1.31 juta.

Shaharuddin berkata pihaknya juga mempertimbangkan untuk melaksanakan sistem JPJeBid secara berperingkat ke seluruh negara bermula di negeri seperti Johor, Selangor dan Pulau Pinang.

Source: Read Full Article