MARii dedahkan vendor-vendor automotif Malaysia ke pasaran eksport menerusi anjuran bersama IESS 2019

Selain dari mengeksport kereta dalam bentuk lengkap (CBU), perniagaan dalam bentuk eksport komponen alat-alat ganti juga merupakan satu cabang dalam industri automotif yang memberikan pulangan besar kepada negara dengan menunjukkan peningkatan yang begitu ketara iaitu dari RM4.7 bilion pada 2014 kepada RM12.1 bilion pada 2018.

Oleh itu, sebagai badan di bawah Kementerian Perdagangan dan Antarabangsa (MITI) yang bertanggungjawab dalam hal ini, Institut Automotif Robotik dan Iot Malaysia (MARii) sentiasa mencari peluang bagi memperluaskan perniagaan ini. Salah satu usaha bagi mededahkan vendor-vendor Malaysia kepada pasaran luar adalah menerusi pameran-pameran antarabangsa seperti International Engineering Source Show (IESS) 2019 yang berlangsung di Chennai, India bermula hari ini.

Bukan sekadar membawa delegasi Malaysia ke acara tersebut, malah MARii telah menjadikan Malaysia sebagai penganjur bersama untuk acara ini selama tiga tahun, di mana Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai perkara berkenaan turut ditandatangani hari ini ketika pelancarannya. CEO MARii, Dato Madani Sahari telah mewakili Malaysia untuk menandatangani MoU tersebut, manakala India diwakili oleh Suranjan Gupta, Pengarah Eksekutif Majlis Promosi Kejureteraan dan Eksport (EEPC) India.


Untuk itu, vendor-vendor Malaysia dikumpulkan pada satu ruang yang luas pada pameran ini, dikenali sebagai ‘Malaysia Pavillion’. Malah MARii turut membawa sebuah Perodua Myvi dan sebuah Perodua Bezza bagi menunjukkan pada pihak luar kebolehan yang dikecapi oleh vendor-vendor tempatan.

Secara keseluruhan, MARii telah membawa 15 syarikat dari Malaysia. Enam daripadanya adalah dalam bidang pemasangan dan komponen logam, terdiri dari Suria Component Manufacturing, Sapura Automotive Industries, DRB-HICOM, Sanyco Grand Industries, Fulle Technik dan Group Components Automotive (GCA).

Empat dari syarikat berkenaan pula menghasilkan komponen-komponen plastik iaitu Azman Hamzah Plastik/Industrial Quality Management, HIL Industries, PD Kawamura Kako dan Delloyd Industries. Manakala selebihnya adalah syarikat yang memberikan pelbagai servis iaitu JHC Logistics, ORS Technologies, Feiran Technology, Talent Synergy dan TechCapital Resources.



Sehingga kini, Malaysia merupakan pengeluar untuk komponen-komponen seperti bampar, kolum stereng, kotak komputer enjin (ECU), sistem penghawa dingin, suis-suis, tayar, sistem infotainmen, kemasan plastik dalaman, komponen-komponen getah serta pelbagai lagi.

Source: Read Full Article