Mercedes-Benz EQV – van elektrik penuh dengan kuasa 150 kW, tempat duduk untuk hingga lapan orang

Barisan model elektrik yang menggunakan lencana EQ oleh Mercedes-Benz kini bertambah dengan pengenalan EQV, yang versi produksinya telah didedahkan sepenuhnya. Ia adalah sebuah van premium yang menggunakan elektrik sepenuhnya, manakala tempat duduk boleh didapati dalam beberapa kapasiti – sehingga lapan orang.

Pada bahagian luarnya, EQV ini mengikuti elemen rekaan yang sama seperti model EQ yang lain, dengan yang utama adalah gril radiator hitam bersama jalur krom, serta rekaan rim 18 inci serba ringan yang khas untuknya. Dalam gambar ini anda boleh melihat ia menggunakan warna badan putih berserta bahagian dalam lampu yang gelap serta cermin sisi hitam.

Penggerak elektrik pada EQV semuanya terletak di hadapan termasuklah motor elektrik, transmisi dengan nisbah gear yang tetap (pacuan roda hadapan), sistem penyejukan serta elektronik pengawal lain. Bateri lithium ion yang digunakan pula berada di bawah lantai kenderaan.

Dengan tetapan seperti ini, ia memberi kesan positif kepada pengendalian EQV, dan tidak mengganggu ruang pengguna. Bergantung kepada varian dan penggunaan yang dimahukan kepada pengguna, EQV ini boleh datang dengan enam hingga lapan tempat duduk.



Secara keseluruhannya, van elektrik ini mampu menghasilkan kuasa sebanyak 150 kW (204 hp), 362 Nm tork dan boleh memecut sehingga laju maksimum 160 km/j. Bateri lithium ion yang digunakan pula mempunyai kapasiti tenaga boleh guna 90 kWh dan mencatat penggunaan 27.0 kWh bagi setiap 100 km.

Dengan setiap cas penuh bateri ini, EQV boleh bergerak sehingga 405 km, dan ia juga didatangkan dengan pengecas OBC 11 kW, menjadikan ia sesuai untuk dicas menggunakan sistem AC di rumah ataupun stesen pengecas lain. Jika menggunakan Mercedes-Benz Wallbox Home dan output mengecas 11 kW, masa mengecas adalah lebih cepat berbanding soket domestik biasa.

Jika mahukan lebih cepat, pemilik boleh menggunakan pengecas DC CCS (Combined Charging Systems), dan di Eropah, ia boleh dicas dengan output maksimum sehingga 110 kW di stesen pengecas yang bersesuaian dan mengambil masa kurang 45 minit untuk mencapai tahap 80%, daripada 10%.

Selain kebergantungan kepada bateri itu sendiri, beberapa sistem lain turut membantu EQV untuk mencapai jarak perjalanan yang lebih jauh. Antaranya adalah pengecasan sambil bergerak. Ini boleh berlaku apabila kenderaan memecut atau membrek, dengan putaran mekanikal itu diubah kepada tenaga elektrik untuk mengecas bateri.

Paling mudah, pengguna boleh meletakkannya dalam mod D Auto, ECO Assistant yang diaktifkan secara automatik akan membantu pemandu mendapatkan kecekapan penggunaan tenaga terbaik dengan menggunakan data yang diperoleh daripada sistem navigasi serta sistem bantuan keselamatan pintar (radar dan kamera).

Sistem hiburan MBUX pada EQV juga adalah istimewa. Skrin resolusi tinggi 10 inci yang digunakan boleh menunjukkan pelbagai paparan dan tetapan yang termasuk tahap pengecasan, waktu berlepas, kitaran penggunaan kuasa dan histogram penggunaan kuasa. Ia juga boleh digunakan untuk navigasi, mod pemanduan serta fungsi Mercedes me Charge.

Untuk sistem kawalan suara yang boleh diaktifkan dengan ucapan “Hey Mercedes”, ia boleh digunakan untuk pelbagai fungsi infotainmen (memasukkan destinasi, panggilan telefon, pilihan muzik, mendengar mesej dan ramalan cuaca) serta kawalan pendingin hawa dan lampu.

Source: Read Full Article