Subaru M'sia anjur program pemanduan off-road untuk pelanggannya – uji keupayaan Core-Technologies

Hujung minggu baru-baru ini, Subaru Malaysia telah menganjurkan program ‘Subaru Off Road Experiential Drive’ yang dibuka khas untuk para pelanggannya. Program yang berlangsung selama dua hari ini menerima penyertaan hampir 200 peserta yang rata-ratanya adalah pemilik SUV Forester dan crossover XV.

Bertempat di Must Fun Gym, Sg Penchala, Kuala Lumpur, para peserta berpeluang melenjan Forester dan XV di laluan off-road buatan sejauh 2 km ini. Objektif utama penganjuran ini adalah untuk menawarkan pengalaman pemanduan secara off-road kepada para pelanggan dan memberikan pendedahan sebenar bagi teknologi keupayaan Subaru dengan Core-Technologies iaitu gabungan SAWD, enjin Boxer dan juga platform Subaru Global.

Pemanduan ini melibatkan sembilan laluan berbeza yang harus direntasi iaitu Rutted & Steep Climb, Slanted slope & steep climb, Sharp uphill turn, Rocky Turn, Rutted Track, Sharp Turn & slanted, Steep climb dan Steep downhill. Di mana setiap satu laluan tersebut memiliki cabaran pemanduan yang berbeza dan untuk merentasi kesemua laluan ini, fungsi X-Mode harus dihidupkan terlebih dahulu.


Cabaran pertama yang harus direntasi iaitu Rutted & Steep Climb, peserta dikehendaki memandu SUV pilihan dengan melalui tengah-tengah antara dua batang pokok yang memang menguji kecekapan seperti melalui lorong yang sempit, sebelum terus membelok di selekoh yang agak tajam. Kemudian kenderaan dipandu untuk mendaki laluan berbukit yang agak curam untuk menguji jarak kelegaan model Subaru ini untuk merentasi laluan off-road.

Selain menguji jarak kelegaan tanah SUV, ia juga memberikan peserta peluang merasai sendiri kehebatan AWD dan X-Mode yang turut ditampilkan. Ternyata dengan bantuan teknologi yang ada ini, SUV yang dipandu berupaya mendaki laluan bukit yang curam tanpa sebarang masalah. Selain teknologi, momentum kelajuan kenderaan dan skil pemanduan pemandu sangat diperlukan. Tidak perlu menekan pedal pendikit dengan berlebihan, cukup sekadar mengekalkan momentum yang bersederhana sehingga berjaya mendaki bukit tersebut.

Manakala cabaran kedua, Slanted slope & steep climb menguji keupayaan side slop selain kestabilan, X-Mode dan AWD kenderaan. Untuk ujian ketiga pula iaitu Sharp Uphill Turn, memandu dengan kelajuan yang perlahan dan mendaki bukit dan terus membelok di selekoh tajam juga benar-benar menguji pemanduan. Kalau tak lepas nak membelok, boleh terlanggar dinding bukit juga dibuatnya. Di sini, ia turut menguji jejari pusingan bagi kedua-dua SUV berkenaan.


Untuk cabaran seterusnya pula ialah Rocky Turn pula adalah menguji AWD Traction dan X-Mode dalam kelajuan perlahan. Kemudian, kenderaan harus dipandu mendaki laluan bukit yang juga curam, terima kasih pada teknologi Bantuan Mula Mendaki dengan Kawalan Cengkaman yang memberikan fungsi terbaik.

Cabaran terakhir pula, Steep Downhill, menuruni bukit yang curam dengan bantuan Kawalan Menurun Bukit (HDC), tatkala ini, pemandu tidak perlu menekan pedal pendikit dan brek kerana HDC bertindak mengawal sistem. Sekiranya sistem mengesan pemandu menekan pedal pendikit mahu pun brek, sistem terbabit akan terus ‘cut-off’ kerana ‘beranggapan’ pemandu mahu mengambil alih pengendalian.

Dengan kelengkapan teknologi dan sistem bantuan pemanduan yang ditampilkan, memang tidak dinafikan mengendalikan model Forester dan XV versi terkini cukup menyeronokkan. Apatah lagi teknologi dan sistem berkenaan cukup membantu dalam pengendalian di laluan off-road sebegini. Walau pun tak berapa puas melenjannya di litar buatan ini, namun ia cukup memadai untuk menguji sejauh mana kehebatan teknologi dan bantuan yang dipertingkatkan ini.

Tidak sekadar seronok memacunya di jalan biasa, Forester dan XV serba baharu ini sebenarnya ‘cukup mudah untuk dijinakkan’ dalam pemanduan lasak. Terutamanya SUV crossover XV yang boleh dikatakan yang terbaik dalam segmennya, mengatasi pengendalian yang ditampilkan oleh pencabar terdekatnya, Honda HR-V.

Pada Ogos tahun lalu, Subaru Malaysia telah memaklumkan, Forester generasi kelima dijangka tiba ke negara kita pada suku kedua tahun ini, malah ia juga akan ditampilkan dengan EyeSight iaitu sistem pembantu pemandu juga akan ditampilkan pada varian tertinggi. Forester baharu ini bakal menjadi model kedua Subaru yang didatangkan dengan EyeSight selepas Outback diperkenalkan. Turut dimaklumkan XV juga akan didatangkan dengan EyeSight pada tahun 2020.

Source: Read Full Article