Toyota Camry 2018 – pendaftaran minat mula dibuka

Toyota Camry 2018 serba baru generasi kelapan (XV70) akan diperkenalkan secara rasmi di Thailand esok. Dan, nampaknya kita di Malaysia juga tidak perlu menunggu lama untuk menerima model serba baru berkenaan di sini.

UMW Toyota Motor melalui laman Facebook Toyota Malaysia pagi ini sudah membuat teaser bagi Camry serba baru ini; pendaftaran bagi mereka yang berminat untuk tahu lebih lanjut atau menjadi yang terawal mendekati model berkenaan juga kini sudah dibuka kepada umum. Anda boleh capai pautan berkenaan dan mendaftar di sini.

Apa yang lebih menarik, 1 November 2018 dinyatakan sebagai tarikh pengenalan rasmi model berkenaan untuk pasaran tempatan – itu hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi. Bagaimanapun, masih tiada sebarang pengesahan berkaitan spesifikasi dan senarai penawaran lain bagi Toyota Camry serba baru ini untuk pasaran tempatan.

Berdasarkan teaser terakhir yang dikeluarkan di Thailand, enjin yang dapat ditampilkan adalah dari barisan Dynamic Force Engine yang terbaru. Jika dilihat dari penutup enjin dan kedudukan bukaan isian minyak enjin, kemungkinan besar ia merupakan unit A25A-FKS 2.5 liter (juga ada dalam versi 2.0 liter), yang menghasilkan 208 PS dan 252 Nm, dengan padanan transmisi automatik lapan-kelajuan.

Penjana kuasa ini juga didatangkan dengan teknologi seperti BBT-iE pada intake cam untuk respon yang lebih baik, VVT-i untuk ekzos dan D-45 serta sistem suntikan-terus. Toyota mendakwa penjimatan termal maksimum sehingga 40% untuk enjin, dan meningkat sehingga 41% bagi Camry Hybrid – yang juga dijangka akan diperkenalkan kelak.

Lain pilihan enjin yang mungkin ditawarkan termasuklah enjin 2.0 liter 6AR-FSE (167 PS/199) dan 2.5 liter 2AR-FXE (160 PS/213 Nm), yang turut ditawarkan pada model Camry sedia ada dalam pasaran di Malaysia. Untuk pengesahan lain berkaitan penawaran Camry 2018 ini, kita nantikan pengumuman dari UMW Toyota nanti.

Source: Read Full Article