14 cadangan diterima daripada pelbagai pihak berkenaan projek kereta nasional ketiga – MITI

Cadangan untuk mewujudkan projek kereta nasional ketiga yang pada mulanya menerima banyak bantahan daripada pelbagai pihak, kini bertukar haluan bila mana semakin ramai pula yang bersetuju mengenai pelaksanaannya.

Terkini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengesahkan telah menerima 14 cadangan daripada pihak swasta dan individu berkenaan kereta nasional baharu, laporan Bernama.

Menurut Timbalan Menteri MITI, Dr. Ong Kian Ming, Dasar Automotif Nasional (NAP) dan hala tuju berkenaan industri automotif negara secara menyeluruh perlu dikenal pasti sebelum melaksanakan kajian impak ekonomi kereta nasional ketiga tersebut.

“Kita perlu menampakkan hala tuju yang lebih tepat oleh kerana kita belum lagi menilai semua cadangan yang telah kita dapat daripada syarikat dan individu mengenai projek kereta nasional baharu,” katanya yang menjawab soalan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) serta soalan susulan daripada Wong Chen (PH-Subang) pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Katanya lagi, projek kenderaan nasional baharu ini akan dipacu sepenuhnya oleh pihak swasta. Di mana Kerajaan hanya akan membantu dari segi kemudahan dan bantuan tertentu bergantung kepada komitmen syarikat.

Beliau turut menegaskan bahawa industri automotif merupakan elemen penting dan strategik dalam sektor perkilangan di Malaysia. Di mana industri automotif serta sektor yang berkaitan automotif menggunakan lebih 700,000 pekerja dan telah menyumbang hampir empat peratus daripada keluaran dalam negara kasar Malaysia.

“Ia amat penting untuk pertumbuhan negara dan projek beerkenaan dijangka dapat meningkatkan keupayaan kejuruteraan dan teknologi di Malaysia. Kerajaan buat masa ini sedang dalam proses kajian semula NAP bagi menerapkan pelbagai elemen selaras dengan kemajuan teknologi mobiliti dan Industri 4.0 untuk memastikan industri automotif tempatan selari dengan perkembangan global,” katanya.

Beliau berkata, kajian semula ini akan membincangkan perkara berkaitan pembangunan industri automotif tempatan seperti pembangunan syarikat tempatan, aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta peningkatan eksport.

Tambahnya lagi, projek kereta nasional baharu akan dibuat selari dengan hala tuju dan strategi masa depan industri automotif Malaysia, dengan mengambil kira unsur-unsur Kenderaan Generasi Akan Datang (NXGV), Mobiliti, Revolusi Industri (IR) 4.0 dan Kecerdasan Buatan (Al).

“Projek kereta nasional baharu yang dicadangkan ini tertumpu kepada pembangunan keupayaan pembuatan dengan melibatkan keseluruhan rantaian nilai dan ekosistem industri automotif,” katanya.

Menurutnya, cadangan projek kereta nasional baharu ini juga perlu memberi penekanan kepada R&D, tren dan teknologi baharu yang akan memacu pertumbuhan industri automotif dan industri lain yang berkaitan serta kerjasama dengan negara ASEAN yang lain.

Malahan cadangan projek kereta nasional ketiga ini juga dijangka dapat mewujudkan kluster teknologi serta tenaga kerja pakar baharu, terutama dalam bidang kejuruteraan automotif.

Beliau berkata, MITI mempelawa mereka yang berminat untuk mengemukakan cadangan kepada kerajaan berhubung projek tersebut dan tarikh akhir bagi penghantaran cadangan adalah pada 15 Okt 2018.

Related Cars for Sale on









Source: Read Full Article