Mitsubishi Triton facelift baharu diperkenal 9 Nov ini

Mitsubishi telah pun menyiarkan teaser kedua bagi Triton baharu (atau L200 di beberapa pasaran lain) bersama tarikh pengenalannya, 9 November. Menurut pengeluarnya , trak pikap ini direka mengikut tagline ‘Engineered Beyond Tough’ , mengikut maklumbalas daripada pemiliknya di seluruh dunia.

Melihat gambar di atas, anda dapat melihat sebahagian daripada piakp ini. Ia menampilkan bahagian hadapan yang disemak semula termasuk dengan sentuhan gaya bahasa Dynamic Shield rekaan Mitsubishi sendiri dengan lampu utama yang lebih tirus disambung pada gril dan lampu kabus/indikator pada bahagian sudut.

Gaya baharu ini signifikan daripada model semasa, malah ia mempunyai banyak persamaan dengan model yang baru diperkenalkan oleh Mitsubishi termasuk Eclipse Cross dan Xpander. Selain itu, cab dan cermin sisinya dilihat tidak berubah, masih seperti sebelum ini.

Berdasarkan imej yang pernah disebarkan sebelum ini, roda baharu juga diperkenalkan. Malah lampu belakang juga direka semula. Perubahan bahagian dalaman juga dijangka dilakukan, namun tidak dipastikan adakah ia melibatkan perubahan kecil-kecilan atau sebaliknya.

Untuk sistem mekanikal, masih tidak dipastikan sama ada Triton facelift ini akan diberikan peningkatan atau kekal sama seperti model sebelum ini. Buat masa ini, trak pikap Mitsubishi Triton dijana enjin MIVEC turbodiesel 2.4 liter berkuasa 181 PS/430 Nm digandingkan bersama pilihan kotak gear enam-kelajuan manual atau lima-kelajuan automatik.

Source: Read Full Article