Hyundai Elevate muncul di CES 2019 – ada kaki beroda

Biasanya apabila berlaku bencana, orang yang mahu membantu ataupun pasukan penyelamat cuma boleh bergerak menaiki kenderaan sehingga ke kawasan yang tertentu sahaja dan ia kemudiannya diteruskan dengan berjalan kaki. Ini memberikan inspirasi kepada Hyundai untuk menghasilkan sebuah kenderaan konsep yang lebih cekap untuk berhadapan kawasan mencabar, dan ia dikenali sebagai Elevate.

Seperti yang boleh dilihat dalam gambar, Elevate mempunyai empat ‘kaki’ beroda dan ia boleh dipanjangkan untuk menaikkan kenderaan lebih tinggi. Kabin untuk penumpang pula dibina atas platform kenderaan elektrik (EV) modular jenama itu, dan digerakkan oleh kuasa elektrik.

Memandangkan ini adalah sebuah kenderaan konsep yang masih baru, Hyundai tidak mendedahkan sebarang informasi teknikal berkenaan Elevate, tetapi ia diberitahu boleh memanjat tembok sehingga lima kaki, melangkah dalam jarak lima kaki, berjalan atas pelbagai permukaan dan semuanya boleh dilakukan dengan mengekalkan kabin penumpang seimbang.

Apabila berada atas jalan biasa, kaki robotik Elevate ini boleh dilipat ke dalam, dan menghasilkan bentuk seperti kereta biasa. Dalam keadaan itu, ia juga boleh bergerak seperti kereta biasa, dan kuasa kepada sendi kaki tersebut akan ditutup untuk menjimatkan bateri.

Selain penggunaan di kawasan bencana seperti runtuhan bangunan dan banjir, Elevate juga dilihat boleh membantu mengeluarkan kenderaan sekiranya pemandu terbabas ke bahu jalan atau kawasan lain. Untuk orang kurang upaya yang tiada akses kepada tanjakan khas untuk kerusi roda pula, kenderaan ini boleh memanjat tangga untuk mengambil mereka.

Source: Read Full Article