Repsol Honda Team sambut 25 tahun dalam MotoGP

Satu demi satu pasukan MotoGP mula memperkenalkan pasukan serta jentera mereka untuk tahun 2019, dan semalam telah berlangsung acara untuk Repsol Honda Team. Istimewanya tahun ini, ia juga menandakan tahun ke-25 Repsol dan Honda Racing Team (HRC) bekerjasama dalam satu pasukan MotoGP.

Selain Marc Marquez dan Jorge Lorenzo yang dipilih menjadi pelumba tahun ini, acara turut disertai bekas pelumba lagenda yang pernah berlumba dalam pasukan Repsol Honda Team iaitu Mick Doohan dan juga Alex Crivillé, bersama jentera mereka.

Sejak Repsol dan HRC bekerjasama dalam MotoGP, iaitu dari waktu Doohan menggunakan jentera NSR500 hinggalah sekarang dengan RC213V yang digunakan oleh Marquez dan Lorenzo, pasukan ini telah berjaya mendapatkan 14 kejuaraan dunia, 427 podium, 182 catatan masa terpantas dan 177 kali memulakan perlumbaan di petak paling hadapan. Dengan pencapaian ini, Repsol Honda Team bukan saja cuku ikonik, malah juga adalah padanan yang paling berjaya.

Turut menjadi perhatian dalam acara ini sudah tentu adalah penampilan jentera musim 2019, tetapi ia dilihat tidak jauh berbeza daripada aspek penampilan berbanding tahun lalu dan tiada perubahan warna atau grafik yang terlalu ketara.

Jentera dengan penampilan baru ini akan dibawa ke litar buat pertama kali 6 hingga 8 Februari ini di Litar Antarabangsa Sepang untuk ujian oleh Marquez, manakala Lorenzo pula masih terpaksa menjalani rawatan berikutan kecederaan pada tulang tangan kiri waktu berlatih. Pusingan pertama perlumbaan MotoGP akan berlangsung 10 Mac.

Source: Read Full Article