TAS2019: JDM Old School di Makuhari Messe

Jika anda mahu mengetahui secara keseluruhan scene ubahsuai kenderaan di Jepun dalam satu tempat, sudah tentu Tokyo Auto Salon (TAS) adalah tempatnya. Dari tuner arus perdana, penala yang terlibat dalam perlumbaan underground, K-Car, 4×4 sehinggalah ke ubahsuai kereta-kereta jenama dari Eropah dan Amerika Syarikat. Dan sudah pasti, genre JDM Old School seperti Kyusha, Shakotan dan Bosozoku turut tidak ketinggalan.

Terdapat berberapa pihak yang membawa kereta-kereta sebegini ke TAS 2019 seperti Rocky Auto, majalah G-Works dan sebagainya. Empat buah JDM Legends yang anda lihat ini adalah hasil restorasi-ubahsuai (Restomod) dari Star Road dan Speedforme. Kami memilih untuk memaparkan empat buah kereta ini bukan sahaja kerana hasil kerja mereka yang halus, tetapi juga ia adalah antara booth yang paling tenang memudahkan kami untuk mengambil gambar. Di Rocky Auto, jalan pun kena berlaga perut, macam mana mahu mengambil gambar?

Kita mulakan dengan Star Road. Firma ini membawa dua buah kereta Nissan Skyline C10 ‘Hakosuka’ dan juga Datsun Fairlady S30 240ZG. Bagi Hakosuka yang ditampilkan ini, tidak diketahui ia adalah GT-R asli ataupun tidak kerana kami tidak dapat melihat ruang enjinnya (GT-R menggunakan enjin S20 2.0 liter enam silinder DOHC, manakala versi biasa hanya diberikan enjin L-Series enam-silinder single cam).

Walau bagaimanapun, ia tetap sebuah Skyline C10 dari versi coupe dua-pintu ‘long nose‘ dengan enjin enam-silinder. Star Road memberikan gaya sebuah jentera Japan Grand Prix era 70’an pada Hako ini seperti yang pernah dipandu oleh ‘Gan-san’ Motoharu Kurosawa dan juga pengasas Impul Kazuyoshi Hoshino.

Kit kereta lumba berkenaan termasuk penutup lampu dan spoiler dan fender flare hadapan serta fender flare lebih besar di belakang. Gril hadapan juga dibuka bagi memberikan aliran udara lebih baik kepada radiator serta memudahkan laluan paip penyejuk minyak pelincir yang berada di hadapan. Star Road tidak memadankan cermin sisi ‘tanduk’ pada Hako ini, sebaliknya memberikan sedikit sentuhan model dengan cermin pintu gentian karbon.

Mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa Fairlady Z S30 Star Road ini mempunyai muka yang lebih tajam dari biasa? Seperti yang disebut tadi, ini adalah Fairlady dari versi 240ZG dan ia memang sedikit berlainan dengan 240Z biasa. Model ini sebenarnya adalah versi homologasi istimewa yang dihasilkan oleh Nissan untuk membawa kereta ini berlumba dalam kategori FIA Group 4.


Bagi membolehkan kereta lumba mereka dapat mengenakan kit aero lebih baik, model produksi ini juga diberikan muncung lebih tajam digelar G-Nose, bersama penutup jernih lampu hadapan (tiada pada kereta Star Road ini). Nissan juga mahukan kereta lumba mereka lebih lebar, sebab itulah 240ZG ini hadir dengan fender flare yang dipadankan secara standard.

240ZG milik Star Road ini telah direstorasi dengan begitu baik. Ia bukan sekadar cantik dalam gambar, ia sememangnya telah menerima kerja tangan yang cukup halus dari segi ‘menegakkan’ kembali garis-garis dan panel badan serta kerja-kerja mengecat semula badan kereta ini.

Namun jika ditanya pendapat peribadi, saya sebenarnya lebih menggemari Fairlady S30 240Z seperti yang dibawa oleh Speedforme ini kerana ia nampak lebih ganas dengan mulut pada bahagian hadapan. Speedforme bukan sekadar melakukan proses restorasi, tetapi turut menghasilkan kit-kit badan gaya klasik sebenar tetapi mnggunakan material yang lebih maju seperti FRP dan juga gentian karbon.

Untuk Z yang mereka bawa ini, ia telah pun dipadankan dengan kit badan FRP terdiri dari panel valance hadapan lebih labuh, skirt sisi dan juga panel bawah bampar belakang. Ia juga menerima kelengkapan gentian karbon seperti spoiler hadapan, fender flare dan juga spoiler belakang. Speedforme memadankan rim Rays Engineering TE37V dan kereta ini direndahkan bagi memberikan stance yang begitu menghairahkan.

Speedforme turut membawa sebuah lagi model rare iaitu Nissan Skyline C110 a.k.a Kenmeri Skyline. Oleh kerana penutup but enjinnya tidak dibuka, kami tidak boleh mengesahkan sama ada ia sebuah model GT-R asli ataupun tidak, namun penggayaan yang diberikan adalah sepenuhnya sama seperti GT-R sebenar.

Sama seperti Hako, GT-R Kenmeri asli juga menggunakan enjin S20 dan model lebih rendah hanya menerima enjin L-series single cam. Enjin S20 berkenaan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dijumpai kerana selain dari 197 unit enjin tersebut yang dipasangkan dalam perut Kenmeri GT-R, enjin tersebut hanya boleh ditemui pada 1,945 unit Hakosuka GT-R 4- dan 2-pintu serta 420 unit Nissan Fairlady Z S30 432.


Selain dari empat model ini, kami juga sempat untuk merakam gambar sebuah Datsun Cherry X1-R yang dipamerkan di booth Endless. Nama Cherry ini mungkin tidak dikenali di Malaysia, tetapi jika anda sebut Datsun Stanza/100A mungkin ayah-ayah atau atuk-atuk kita kenal akan model Datsun/Nissan pacuan hadapan dengan konfugarasi enjinnya hampir sama dengan model Mini mk.I

Persamaan tersebut adalah kedudukan kotak gearnya yang terletak di bawah enjin dan bukan disebelah enjin. Ini membolehkan mekanik menukar plat klac tanpa perlu menurunkan kotak gear. Cherry berwarna putih ini adalah model generasi pertama E10 yang diproduksi pada era 70’an.

Model X-1R ini juga sebenarnya bukan biasa-biasa, ia adalah Cherry istimewa dengan bentuk badan coupe dua pintu bersama fender flare yang didatangkan secara standard, manakala enjin A12T 1.2 liter yang dibekalkan dilengkapi dengan karburator Hitachi side draught berkembar asli dari kilang.

Source: Read Full Article