Yamaha MT-15 dilancar di India – kelengkapan berbeza

Setiap pasaran mempunyai keperluan yang berbeza, dan perkara ini dapat dilihat dengan membandingkan produk yang sama, tapi untuk pasaran yang berlainan. Contohnya, Yamaha MT-15 ini. Model yang baru dilancarkan di India dapat dilihat mempunyai kelengkapan yang berbeza berbanding di Thailand dan Indonesia.

Untuk warna, terdapat dua pilihan di India iaitu hitam dan biru, namun yang lebih mencuri perhatian adalah suspensi hadapan kerana model di India ini cuma menggunakan fork teleskopik biasa, sementara di pasaran Thailand dan Indonesia ia menggunakan fork jenis terbalik (USD).

Selain daripada itu, kami juga mendapati model yang dijual di India mempunyai sistem brek ABS one-channel, dan anda sendiri boleh mengesahkannya dengan melihat bahagian cakera brek hadapan yang mempunyai gelung khas untuk pengesan ABS. Model di Thailand dan Indonesia tidak mempunyai ciri ini.



Beberapa perbezaan lain adalah terdapat besi pemegang untuk penumpang belakang dan tayar untuk rim 17 inci hadapannya dijadikan lebih tebal iaitu 100/80 (di Thailand dan Indonesia 110/70) sementara di belakang masih sama iaitu 140/70. Pilihan aksesori MT-15 di India juga dijadikan lebih kepada praktikaliti.

Selain daripada itu, model di India masih lagi menggunakan enjin satu silinder suntikan bahan api 155 cc SOHC dengan teknologi VVA dan penyejukan cecair, bersama padanan transmisi enam kelajuan, menghasilkan kuasa yang sama iaitu 19 hp pada 10,000 rpm dan 14.7 Nm tork pada 8,500 rpm. Penukaran gear juga dijadikan lebih lancar dan berkesan dengan penggunaan klac jenis assist & slipper.

Kedua-dua brek hadapan dan belakang adalah jenis cakera manakala perincian lain adalah termasuk tangki 10.4 liter, meter digital, berat 138 kg dan lampu depan dan belakang LED. Yamaha MT-15 dijual di India pada harga bermula 136,000 rupee (RM8,000).

Source: Read Full Article