Land Rover Defender generasi baharu akan dilengkapi pelbagai teknologi, kekalkan kebolehan off-road

Land Rover Defender – satu nama ikonik dalam dunia pengembaraan 4×4. Kereta berkenaan mempunyai begitu ramai pengikut kerana binaannya yang ringkas dan paling utama ialah kebolehannya untuk merentas pelbagai permukaan bumi yang tidak perlu lagi dipertikai sejak lebih 70 tahun dahulu. Namun, adakah falsafah yang sama akan digunakan untuk model generasi baharu Defender yang bakal diperkenalkan pada tahun hadapan?

Menurut laporan CarAdvice, Jaguar Land Rover (JLR) bakal menghasilkan Defender yang masih mempunyai kebolehan off-road yang hebat, namun ia tidak boleh lari dari diberikan pelbagai teknologi elektronik baharu seiring dengan perkembangan semasa.

“Solusi yang lebih baik sentiasa menjadi musuh kepada jalan yang baik sedia ada. Defender lama adalah sangat bagus, tetapi perlu dipastikan yang baharu adalah luar biasa,” kata CEO JLR, Ralf Speth kepada portal Australia berkenaan.

Tidak seperti Defender sebelumnya yang bersifat sangat mekanikal, model generasi baharunya bakal dilengkapi dengan pelbagai sistem bantuan pemanduan aktif sama ada di atas jalan dan off-road, bersama sistem-sistem keselamatan terkini.

“Teknologi adalah mandatori pada Defender baharu. Anda tidak lagi boleh membina kenderaan seperti ini tanpa teknologi. Anda tidak boleh mencapai tahap emisi dan anda tidak boleh mencapai tahap CO2 yang diperlukan pada kenderaan-kenderaan ini buat masa sekarang,” jelas Speth lagi.

Undang-undang emisi baharu memerlukan kenderaan direka lebih aerodinamik, manakala undang-undang kesemalatan pejalan kaki juga kini semakin ketat – kedua-dua faktor ini tentunya menjadi ‘musuh’ terhadap rekaan ikonik Defender yang berkotak. “Ia memerlukan rekaan dan teknologi yang canggih untuk kenderaan seperti ini, jadi lihat kehadapan, bukan kebelakang,” kata Speth lagi.

CarAdvice turut bertanyakan pendapat kepada Speth berkenaan Mercedes-Benz G-Class yang memenuhi keperluan teknologi dan keselamatan terkini, namun masih mengekalkan bentuk berkotak klasiknya.

“Saya rasa sangat menarik untuk mengekalkan rekaan pada masa yang sama kenderaan turut diberikan teknologi baharu di dalamya, tetapi akhirnya hanya separuh yang dapat dicapai. Untuk menjadi sangat relevan dalam masa yang sama menggunakan teknologi terkini, dan mencapai semua sasaran alam sekitar kita, kami tidak boleh asyik memandang kebelakang. Kami perlu bergerak kehadapan dalam hal ini,” jawab Speth.

Source: Read Full Article