Nissan Serena C27 facelift tampil muka lebih menonjol

Nissan Serena C27 masih terasa seperti baru di negara kita, dengan dilancarkan pada bulan Mei tahun lalu. Walaubagaimanapun, Nissan di Jepun telah mendedahkan kepada orang ramai versi facelift bagi MPV ini di laman web mereka, dalam dua varian yang mempunyai perubahan rekaan jelas.

Model pertama berwarna merah menggunakan rekaan lebih santai, menampilkan gril V-Motion yang lebih kemas dengan jalur krom melintang nipis, dan rekaan bersilang dalam gril itu kelihatan lebih berdimensi berbanding model sebelumnya. Bucu krom pada gril itu kini bersambung dengan jalur krom pada lampu utama, menjadikan ia kelihatan lebih rapat.

Selain daripada itu, bahagian bawah gril ini juga turut berubah, dengan tiada lagi jalur V krom besar, dan membuatkan bampar seperti terpisah. Hujung bampar turut diubah dengan bukaan udara berbentuk C dan kelihatan tiada lampu kabus pada versi ini, menunjukkan ia mungkin varian asas.

Tapi kami tahu, anda sebenarnya mahu bercakap tentang versi yang menggunakan gril krom besar itu kan? Berdasarkan apa yang boleh ditemui dalam laman web, gril yang mempunyai tujuh jalur putus-putus itu dipasang terus dari kilang dan mungkin untuk varian yang lebih mahal seperti Serena e-Power. Ini adalah kali pertama gril V-Motion diberi sentuhan menonjol sebegitu.

Grafik lampu utama varian ini juga kelihatan serba baru, dengan kombinasi unit projector dan reflector, bersama lebih banyak kemasan krom. Varian ini juga mempunyai lampu kabus dengan kemasan hitam berkilat di keliling serta hujung bamparnya. Perubahan lain adalah termasuk bampar belakang, lampu belakang serta rekaan rim yang diubah.

Masuk ke dalam, bahagian kabin nampak seperti tidak disentuh. Gambar yang anda lihat ini adalah Serena e-Power, iaitu model yang datang dengan penukar gear elektronik unik, brek parkir elektro-mekanikal (Serena biasa menggunakan brek parkir di kaki), butang pemula enjin warna biru serta Brake-Hold Assist automatik.

Laman web Nissan Jepun juga menunjukkan beberapa pilihan warna bahagian dalam. Model yang menggunakan balutan fabrik disediakan dengan tiga skema warna – kelabu dan hitam, hitam dan burgundy, serta beige. Kulit premium berwarna hitam digunakan untuk varian paling mahal.

Selain daripada itu, tiada perubahan yang dapat dilihat. Serena ini masih dikuasakan oleh enjin sama seperti pada model sekarang iaitu unit petrol empat silinder 2.0 liter MR20DD serta petrol tiga silinder HR12DE untuk Serena e-Power. Enjin 2.0 liter dipadankan bersama transmisi Xtronic CVT dan mampu menghasilkan 150 PS pada 6,000 rpm dan 200 Nm pada 4,400 rpm.

Untuk bahagian keselamatan, Serena baru ini akan mendapat pakej Nissan Intelligent Mobility, dengan tambahan ciri Adaptive Cruise Control dengan brek kecemasan pintar, lampu utama LED adaptif, Rear Cross Traffic Alert, dan brek kecemasan sekiranya tersalah tekan pedal.

Source: Read Full Article