Ramai pengguna jalan raya masih tidak faham peraturan penggunaan cermin gelap – JPJ KL

Mulai 8 Mei lalu, Kementerian Pengangkutan telah mengumumkan pindaan terbaharu bagi peraturan penggunaan cermin gelap ke atas kenderaan motor. Berdasarkan pindaan tersebut, ia akan membenarkan penggunaan lapisan cermin gelap yang mana VLT menerusi cermin sisi kiri dan kanan penumpang serta cermin belakang kenderaan boleh kurang daripada 70% cahaya tampak dengan syarat bahawa kenderaan itu dilengkapi dengan cermin sisi pandang belakang di kanan dan kiri (side mirrors). Walau bagaimana pun, VLT pada cermin hadapan dan cermin sisi kanan dan kiri pemandu adalah masih kekal seperti sedia ada.

Walau bagaimana pun, kebenaran ini hanyalah untuk kenderaan motor milik persendirian sahaja. Kenderaan motor yang didaftar dan digunakan untuk pengangkutan awam dan barangan, VLT tidak boleh kurang daripada 70%. Untuk pindaan terbabit, pelaksanaan bagi penguatkuasaannya akan dimulakan selepas tiga bulan ia diumumkan.

Bermakna, penguatkuasaannya telah pun dimulakan pada bulan ini. Justeru, pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah pun memulakan penguatkuasaanya termasuklah dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan di sekitar ibu kota malam tadi.

Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Datuk Ismail Mohd Zawawi berkata Operasi Pengarah JPJ WPKL Bil 3/2019 telah mengeluarkan sebanyak 416 notis atas pelbagai kesalahan trafik. Ini termasuklah 83 daripada notis yang dikeluarkan adalah berkenaan kesalahan cermin gelap.

“Terdapat ramai pengguna jalan raya yang masih tidak memahami peraturan penggunaan cermin gelap yang dikuatkuasakan pada Mei lepas. Kenderaan motor yang didaftar dan digunakan untuk pengangkutan awam serta barangan, peratus ketelusan cahaya tidak boleh kurang daripada 70%,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

Mengenai peraturan baharu tersebut, sebelum ini, pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) pernah menyuarakan rasa tidak puas hati kerana tidak dipanggil berbincang sama sebelum ia dikuatkuasakan. Menurut PDRM, faktor keselamatan pasukannya juga akan terjejas kerana tidak dapat melihat penumpang ketika pemeriksaan dijalankan.

“Sebelum ini, kita boleh nampak penumpang dan pemandu, namun dengan peraturan baharu ini tiada had ketelusan cahaya dibenarkan. Malah ia juga menyukarkan pasukan penguatkuasaan mengesan kesalahan-kesalahan kecil seperti menggunakan telefon pintar ketika memandu dan tidak memakai tali pinggang keledar,” ujar Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias.

Malahan sehingga kini, Kementerian Pengangkutan masih belum mengumumkan mekanisme penguatkuasaan untuk peraturan baharu ini selepas perbincangan dengan pihak JPJ dan polis dilakukan pada Mei lalu. Sudah tiga bulan berlalu, tapi apa pula keputusan untuk penguatkuasaanya?

Related Cars for Sale on









Source: Read Full Article