Ada 98 sekatan jalan raya untuk pantau pergerakan rentas negeri, patah balik jika ingkar – PDRM

Pergerakan rentas negeri untuk mereka yang terkandas di kampung dan mahu pulang ke rumah masing-masing telah pun bermula semalam. Selain telah mengeluarkan jadual perjalanan bagi setiap negeri di Semenanjung Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga memantau dan memeriksa kenderaan menerusi 98 sekatan jalan raya yang dilaksanakan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan jumlah sekatan jalan raya berkenaan akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan.

“Kita mendirikan sekatan jalan raya untuk pastikan mereka yang terbabit perjalanan itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan arahan dikeluarkan. Mereka yang ingkar dan tidak mengikut jadual ditetapkan untuk perjalanan berkenaan akan diarah untuk patah balik. Polis juga tidak mempunyai masalah sekiranya sekatan jalan raya perlu ditambah di mana-mana negeri pada bila-bila masa,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

Tambahnya, “Perjalanan rentas negeri hanya dilaksanakan bagi mereka yang terkandas di sebuah lokasi sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu. Maksud terkandas ialah orang yang bergerak dan berada di sebuah tempat sebelum PKP dikuatkuasakan. Contohnya, mereka berada di kampung dan mahu pulang ke kediaman masing-masing di bandar.”

Beliau turut berkata, bagi mereka yang ingkar, boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 5) 2020 dan berdepan denda RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.

Pergerakan rentas negeri ini bermula pada semalam, 7 Mei, untuk mereka yang bergerak dari Kuala Lumpur, manakala untuk mereka yang bergerak dari Perak, Johor dan Kelantan pula adalah hari ini, 8 Mei. Pada 9 Mei pula, adalah bagi yang bergerak dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang. Manakala 10 Mei untuk yang bergerak dari Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Related Cars for Sale on









Source: Read Full Article