AOS 2019: Yamaha Y15ZR GTB superbike – kos terkini cecah RM35k, dapat 'cop mohor' Valentino Rossi

Bagi kaki-kaki YSuku yang selalu mengikuti perkembangan kolompok yang dikenali sebagai Geng Tayar Besar (GTB), motosikal ini agaknya tidak memerlukan pengenalan panjang. Ini mungkin motosikal “paling popular” dari kelompok berkenaan, dan kerap menjadi tumpuan orang-ramai serta dijadikan rujukan peminat-peminatnya.

Ketika dipamerkan hujung minggu lalu di acara Art of Speed 2019, pemiliknya, Rudy Norman, 37, sempat berkongsi sedikit sebanyak cerita tentang motosikal ini. “Apa yang saya cuba buat dengan motosikal ni, antaranya ialah guna komponen superbike. Contohnya, swingarm yang diambil dari Kawasaki ZX-6,” jelas Rudy.

“Fork depan pula saya dapatkan dari aftermarket, tapi kena buat modifikasi bahagian “T” yang diambil dari Yamaha R25. Rim depan ini pun pelik sikit, saya guna saiz 16-inci sebab nak muatkan tayar gemuk saiz 120 yang kena special order. Belakang pula guna rim dari motosikal Aprilia 250 cc dengan tayar saiz 180,” tambah Rudy.

Menurut beliau lagi, perkara yang paling sukar dilakukan ialah untuk pasang swingarm superbike ke badan kapcai. “Antaranya saya kena potong dan kimpal balik untuk buat tapak bagi suspensi monoshock yang digunakan,” tambahnya. Sebuah fuel regulator pula jelas kelihatan tak jauh dari pelana. Rudy menambah; “Sebabnya, sekarang saya guna dua penyuntik bahan api, satu yang biasa dan satu lagi ketika rpm tinggi, dan regulator yang ada ini untuk saya pantau tekanannya.”

Sejak dua tahun lalu membeli dan mula mengubahsuai motosikal ini, ia telah berubah daripada sebuah motosikal yang harga asalnya sekitar RM8,000 kepada sebuah “Monster” yang setakat ini telah menelan belanja sekitar RM35,600 untuk segala modifikasi yang telah dilakukan ini.

“Seminggu selepas beli dulu, saya dah mula ubahsuai. Waktu itu, banyak kekalkan komponen asal. Tapi, bila nak dapatkan lebih prestasi, banyak bendalah nak kena tukar,” jelas Rudy. Ubahsuai terbaru yang dilakukan terhadap “kapcai-superbike” ini ialah dengan melibatkan penukaran dry clutch yang menelan kos sekitar RM2,000 serta sistem ekzos carbon fibre dengan belanja sekitar RM3,600.



Apa yang membuatkan Rudy tergerak untuk membuat ubahsuai yang menelan kos tinggi ini? “Senang cerita, kiranya saya terjebak dan tersangkutlah dengan modifikasi YSuku ini,” jelasnya sambil diiringi ketawa. Tetapi, seperti kebiasaan mereka yang terjebak sama dalam hobi seperti ini, kepuasan adalah balasannya, walaupun susah untuk dijelaskan kepada orang lain.

Namun, bagi Rudi, ada satu lagi perkara yang sukar digambarkan dengan kata-kata berlaku ke atas motosikalnya. “Saya sempat bawa motosikal ini untuk berjumpa Valentino Rossi, dan beliau ada turunkan tandatangan pada motosikal ini,” ujarnya, menunjuk pada satu bahagian pada coverset depan, sedikit di bawah lampu utama.

“Sekali dah mula, susah nak berhenti. Tapi rasanya lepas ini macam dah tak ada apa lagi yang nak dibuat. Rasa nak berhenti pun ada, sebab dah banyak sangat belanjakan duit,” katanya lagi sambil ketawa besar. Tetapi, disebabkan minat ini juga, beliau turut menawarkan khidmat ubahsuai secara kecil-kecilan kepada mereka yang berminat untuk melalukan ubahsuai yang sama terhadap motosikal. Anda sanggup berhabis duit untuk buat modifikasi motosikal seperti ini?

Source: Read Full Article