Aston Martin DBS Superleggera pertama kali ditunjukkan kepada dunia Jun tahun lalu, dan kemudiannya bulan lepas, ia tiba di Malaysia dengan harga jualan RM2.88 juta. Itu adalah versi bumbung biasa, tapi yang anda lihat kali ini pula adalah versi bumbung boleh buka, dipanggil sebagai DBS Superleggera Volante.
Binaan bumbung boleh buka ini terdiri daripada lapan lapisan bahan penyerap bunyi serta pemangkin akustik, dan menurut Aston Martin, ia mampu meningkatkan keselesaan dalam kabin apabila ditutup sepenuhnya, dan apabila dibuka, dapat memberikan bunyi yang sedap didengar.
Untuk membuka dan menutup bumbung ini, ia hanya memerlukan masa masing-masing 14 dan 16 saat, dan ia boleh dilakukan dengan sama ada menggunakan butang dalam kenderaan atau pada kunci dalam radius dua meter. Kain bumbung pula disediakan dalam pilihan lapan warna manakala lapisan dalam pula boleh didapati dalam enam pilihan lapisan Rokona.
Biasanya, jarang ada pengeluar yang mengeluarkan kenyataan tentang ketahanan bumbung boleh buka, tapi untuk DBS Superleggera Volante ini, Aston Martin mendakwa, waktu pembangunan, ia telah didedahkan kepada pelbagai keadaan ekstrem daripada Death Valley (antara tempat paling panas di dunia) hinggalah Arctic Circle. Mekanisme bumbung itu pula telah melalui 100,000 kitaran untuk menghasilkan keadaan seperti digunakan selama 10 tahun dalam masa ujian satu bulan.
Bagi mendapatkan daya tolakan ke bawah (downforce) maksimum, Aston Martin telah mengubah beberapa bahagian termasuk splitter serta airdam untuk menolak udara dari depan kereta ke bawah, dan membantu menyejukkan bahagian brek. Bahagian hujung skirting yang lebih dalam membantu mengurangkan daya angkatan serta meningkatkan stabiliti kenderaan.
Bahagian lain yang turut membantu aspek sama adalah lubang udara berhampiran roda hadapan (dipanggil sebagai “curlicue“), dua diffuser di belakang serta sistem pengurusan angin Aeroblade II yang diperelok. Menurut Aston Martin, pada kelajuan maksimum, DBS Superleggera Volante boleh menghasilkan 177 kg daya tolakan ke bawah dan ini cuma tiga kilogram kurang berbanding versi coupe.
Enjin model bumbung boleh buka ini masih sama seperti versi coupe, iaitu unit V12 5.2 liter turbocas berkembar, dengan kuasa 715 hp pada 6,500 rpm dan 900 Nm tork antara 1,800 rpm hingga 5,000 rpm. Daripada enjin, kuasa ini disampaikan ke roda belakang melalui transmisi automatik lapan kelajuan serta propeller shaft gentian karbon. Dengan berat 1,863 kg (+170 kg lebih berat berbandig versi coupe), ia mampu mencatat pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.6 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 340 km/j.
Mod pemanduan dinamik pada kenderaan ini turut memberikan kadar kebisingan yang berbeza. Dalam mod GT, bunyinya lebih tenggelam, manakala dalam mod Sport dan Sport Plus, ia menjadi lebih kuat. Menurut Aston Martin lagi, sistem ekzos empat corong keluar pada kenderaan ini adalah unik dan tidak dapat ditandingi oleh pesaingnya.
Source: Read Full Article