Audi telah memperkenalkan satu lagi model e-tron yang menggunakan bentuk badan SUV kompak empat pintu dan kali ini dipanggil sebagai Q4 e-tron. Kenderaan konsep ini mempunyai panjang 4.59 meter, dan jelas mempunyai beberapa persamaan dengan e-tron sebelum ini.
Bahagian hadapannya didominasi oleh gril Singleframe yang besar tapi tertutup, dan angin sejuk dari luar masuk ke dalam melalui dua bukaan udara yang terdapat di hujung bampar. Lampu hadapan menggunakan unit matrix LED manakala di belakang pula terdapat grafik lampu yang bersambung dari hujung ke hujung.
Q4 e-tron Concept ini menggunakan rim 22 inci, dan profailnya dijadikan tegap, dengan garis bumbung yang menjunam di belakang. Menurut Audi, rekaan ini berjaya mencatat kadar rintangan angin 0.27 Cd dan disudahi dengan warna “Solar Sky.”
Istimewanya warna biru ini adalah ia boleh berubah mengikut sudut cahaya, dan dibangunkan khas untuk Q4 e-tron Concept dalam persekitaran yang mesra alam. Satu lagi fungsinya adalah boleh mengurangkan pembinaan haba pada bahagian badan dan juga dalam kenderaan.
Daripada namanya kita sudah tahun Q4 e-tron Concept ini menggunakan penggerak elektrik. Jadi, ia dibina atas platform MEB, dan dijadikan pacuan empat roda Quattro dengan penggunaan motor elektrik pada setiap gandar. Tiada penyambung mekanikal di antara dua gandar ini, sebaliknya penyampaian kuasa dikawal oleh unit elektrik supaya cengkaman yang optimum dalam pelbagai keadaan dapat dicapai.
Dalam kebanyakan waktu, Q4 e-tron akan menggunakan pacuan roda belakang, demi menjadikan ia lebih cekap. Motor elektrik yang berada di gandar hadapan hanya akan hidup apabila pemandu mahukan lebih prestasi ataupun terdapat gelinciran yang dikesan oleh unit pengawal elektronik tersebut.
Untuk kuasa, unit motor di belakang mempunyai kadar yang lebih tinggi iaitu 150 kW (204 PS) dan 310 Nm tork, manakala unit di hadapan menghasilkan 75 kW (102 PS) dan 150 Nm tork. Apabila digabungkan, sistem ini mampu menghasilkan 225 kW (306 PS), dan kedua-dua motor tersebut mendapat kuasa daripada bateri 82 kWh (dengan berat 510 kg) yang terletak di bawah lantai.
Menurut Audi, dengan tetapan ini, Q4 e-tron Concept boleh pergi sehingga 450 km (kitaran WLTP) dan pengecasan pantas DC (melalui penyambung CCS) berada pada kadar 125 kW. Untuk mendapatkan tahap bateri 80%, 30 minit waktu mengecas diperlukan.
Untuk pecutan, Audi memberitahu kenderaan ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 6.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 180 km/j (dihadkan secara elektronik). Pembahagian berat gandar dikatakan sempurna pada hampir 50:50, dan semua roda disambung dengan penyerap adaptif.
Masuk ke bahagian dalam, sekali lagi ia mengingatkan kepada e-tron asal, tetapi lebih ringkas. Apabila masuk fasa produksi nanti mungkin ia boleh berubah, tetapi model konsep ini mendapat kokpit virtual, head-up display yang besar bersama fungsi augmented reality serta roda stereng bentuk heksagon.
Di tengah terdapat skrin sesentuh 12.3 inci yang dipusingkan sedikit supaya menghadap pemandu dan butang kawalan HVAC diletakkan bawah padanya. Pemilihan gear pula boleh dilakukan melalui butang yang terdapat permukaan hitam berkilat di konsol tengah.
Source: Read Full Article