Bangkok 2019: Toyota Commuter baru berenjin 2.8L

Lepas ni kalau ke Thailand, anda pasti dapat melihat banyak van baru yang digunakan sebagai pengangkut. Ini kerana Toyota Hiace serba baru telah pun muncul di Bangkok International Motor Show, dipanggil sebagai Commuter, sebelum ia dilancarkan secara rasmi pertengahan tahun ini di sana.

Model generasi keenam ini mungkin tidak mewah seperti Alphard atau Vellfire, tetapi Toyota memberitahu ia akan “menetapkan tahap baru untuk perjalanan unggul, dengan memastikan pengalaman terbaik untuk pemandu dan penumpang.” Perubahan paling jelas adalah bahagian depan yang lebih panjang, yang dikatakan “dapat memberi keselesaan yang luar biasa dan keselamatan terbaik.”

Commuter yang ditunjukkan di Thailand ini sebenarnya adalah versi bumbung panjang dan tinggi, yang mana saiznya kini lebih besar. Ukuran tepatnya adalah 5,915 mm panjang (+535 mm), 1,950 mm lebar (+70 mm) dan 2,280 mm tinggi (-5 mm), dengan jarak roda pula 3,860 mm (+750 mm). Versi ini boleh membawa sehingga 17 orang dan tempat duduknya boleh didapati dengan 29 cara susunan.

Commuter dikuasakan oleh enjin 2.8 liter turbodiesel GD sama seperti trak pikap Hilux, sementara sebelum ini ia menggunakan enjin 3.0 liter yang lebih besar. Transmisi enam kelajuan kini menggantikan unit automatik empat kelajuan dan manual lima kelajuan yang ditawarkan sebelum ini. Pada Hilux, enjin 2.8 liter ini menghasilkan 177 PS dan 450 Nm tork.

Source: Read Full Article