Bangkok 2019: Toyota GR Supra A90 tiba di Thailand untuk diprebiu, bakal dilancarkan pada tahun ini

Februari lalu, UMW Toyota telah mengesahkan bahawa Toyota Supra generasi A90 baharu bakal dilancarkan di Malaysia tahun ini. Jika kita dapat, apatah lagi Thailand bukan? Kereta sport berkenaan turut akan masuk ke negara tersebut tahun ini dan semasa berlangsungnya Bangkok International Motor Show (BIMS) 2019, Supra berkenaan telah pun dipamerkan untuk diprebiu.

Perkara ini telah diumumkan sendiri oleh presiden Toyota Motor Thailand, Michinobu Sugata dalam ucapannya. Sama juga seperti Malaysia, spesifikasi yang ditawarkan turut belum didedahkan.

Ketika diperkenalkan buat pertama kali di Detroit, Amerika Syarikat awal tahun ini, Toyota GR Supra A90 hadir dalam tiga varian kuasa. Model tertinggi Supra RZ dijana oleh enjin petrol turbo 3.0 liter enam-silinder sebaris menjana 350 PS dan tork maksima 500 Nm bermula 1,600 hingga 4,500 rpm.

Versi pertengahan pula menerima enjin petrol turbo empat-silinder yang meghasilkan kuasa 258 PS dan tork maksima 400 Nm bermula 1,550 hingga 4,400 rpm. Manakala versi paling asas juga diberikan enjin empat silinder sama, tetapi talaan kuasanya hanya 197 PS dan tork maksima 320 Nm.

Tiada transmisi manual ditawarkan setakat ini, di mana semua varian menerima kotak gear automatik lapan-kelajuan konvensional dari ZF bagi memacu roda belakang. Untuk itu, versi paling berkuasa mampu mencatatkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.3 saat, model pertengahan 5.2 saat dan versi paling rendah 6.5 saat dalam pecutan sama.

Bukan semua jenama Jepun yang berani untuk membawa kereta-kereta sport flagship mereka ke Asia Tenggara seperti Thailand dan Malaysia. Nissan misalnya, sehingga kini tiada lagi model GT-R R35 di bawa secara rasmi oleh pengedar di Malaysia, manakala di negara Gajah Putih ia hanya dibawakan oleh Nissan Motor Thailand pada tahun lalu.

Source: Read Full Article