Setelah sekian lama tidak mempunyai model baru bagi segmen naked pertengahan, Benelli kini muncul kembali untuk bersaing dengan pengenalan 752S, yang membawa rekaan sebuah naked tradisional seperti Ducati Monster, MV Agusta Brutale ataupun Suzuki Gladius – menggunakan lampu bulat di depan dan bahagian belakang lebih tirus.
Tidak banyak panel badan kecuali tangki minyak dan penghadang lumpur, motosikal ini menampakkan kerangka Trellis berwarna hitamnya (lengan ayun juga menggunakan besi berbentuk bulat) dan ia digunakan untuk memegang enjin baru dua silinder 750 cc DOHC penyejukan cecair yang boleh menghasilkan 77 hp pada 8,500 rpm dan 67 Nm tork pada 6,500 rpm. Transmisi adalah unit enam kelajuan dengan klac basah.
Bagi memberikan tunggangan yang sporty, 752S dipasang dengan fork USD Marzocchi berdiameter 50 mm yang boleh dilaras, brek cakera berkembar 320 mm serta angkup Brembo empat piston di hadapan manakala di belakang pula terdapat monoshock dengan pelarasan pra beban, brek cakera 260 mm tunggal serta angkup Brembo satu piston. Melengkapkan keseluruhannya adalah sistem brek ABS two-channel.
Pada bahagian kokpit, anda boleh melihat motosikal ini menggunakan panel instrumen digital berwarna penuh dan kesemua lampunya menggunakan unit LED. Spesifikasi lain 752S adalah tangki 14.5 liter, berat keseluruhan 228 kg, tinggi tempat duduk 810 mm dan rim 17 inci dengan tayar 120/70 di hadapan dan 180/55 di belakang.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan sewaktu EICMA 2018, Benelli menyatakan 752S ini akan berada di wakil pengedar mereka di Eropah pada musim panas tahun depan dan ditawarkan dalam tiga warna iaitu putih, hitam dan hijau. Harga walaubagaimanapun masih belum didedahkan.
Source: Read Full Article