Tempoh hari, seakan ada sinar menanti peminat Suzuki untuk melihat semula bilik pameran yang menayangkan Suzuki Swift dan Jimny di Malaysia setelah NST melaporkan bahawa jenama tersebut akan kembali ke sini, bakal di bawa oleh Berjaya Corporation. Namun khabar ini dinafikan oleh Berjaya sendiri dalam satu laporan oleh akhbar The Sun.
“Berjaya Corp ingin menjelaskan bahawa kenyataan tersebut tidak benar sama sekali. Para lembaga pengarah Berjaya Corp juga tidak mengetahui dan turut tidak merancang perkara tersebut,” jelas syarikat berkenaan dalam satu kenyataan untuk menafikan berita bahawa pengerusi eksekutifnya, Tan Sri Vincent Tan akan ke Jepun bulan hadapan untuk menandatangani perjanjian dengan Suzuki.
Tiga tahun lalu, Suzuki Malaysia Automobile yang memasang hatchback segmen-B Swift di kilang Hicom Automotive Manufacturers Pekan, Pahang menutup operasinya setelah menandatangani MoU bersama Proton dan DRB-Hicom untuk membolehkan jenama automotif nasional itu mendapat akses kepada model-model, platform, unit janakuasa setta teknologi automotif Suzuki.
Ini membawa kepada pelan rasionalisasi yang turut menutup operasi jualan Suzuki di Malaysia, dan pada Januari 2016 kesemua 29 outlet pengedar Suzuki di seluruh negara telah ditransformasikan kepada outlet Proton Edar.
Kerjasama ini telah membolehkan MPV segmen-B Suzuki Ertiga dihasilkan sebagai Proton Ertiga, dan kemudian versi kemaskini Proton Ertiga Xtra diperkenalkan pada Ogos tahun lalu.
Source: Read Full Article