BMW 3 Series G20 bakal dilancarkan di Malaysia

Nampaknya BMW 3 Series G20 bakal menjadi model seterusnya yang akan dilancarkan oleh BMW Malaysia, susulan pengenalan 8 Series coupe G15 baru-baru ini. 3 Series generasi ketujuh ini pertama kalinya diperkenalkan di Paris Motor Show pada 2018.

Menerusi entri yang dimuat naik oleh BMW Malaysia di laman Facebook tidak jelas menunjukkan G20, tetapi hanya membawa kita ke enam generasi pertama 3 Series, bermula dengan E21 sehingga F30.

Dengan ayat “kesinambungan legasi” pada kapsyen, ia jelas menunjukkan apa yang bakal tiba tidak lama lagi. Malah BMW Malaysia juga telah memuat naik beberapa entri “throwback” seperti mana yang dilakukan sebelum pelancaran 8 Series.


Buat masa ini, tidak banyak perincian yang didedahkan. Namun 3 Series terkini ini dipadankan dengan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder dengan dua talaan, bersama transmisi automatik lapan-kelajuan. Untuk 320i, penjana kuasa ini mampu memberikan 184 PS dari 5,000-6,500 rpm dan tork 300 Nm dari 1,350-4,000 rpm, dengan 0-100 km/j dalam masa 7.2 saat.

Sementara itu, 330i pula menawarkan 258 PS dari 5,000-6,500 rpm dan tork 400 Nm dari 1,550-4,400 rpm. Membuatkannya mampu mencapai pecutan 0-100 km/j yang lebih cepat pada 5.8 saat. Satu atau kedua-dua varian petrol ini mungkin yang akan kita dapat, tapi apa pun kena nantikan pelancarannya.

Varian lain yang turut ditawarkan untuk G20 ini termasuk M340i xDrive, 330d, 320d dan 318d, tetapi kita tak jangkakan akan menerimanya di sini. Selain itu, ada juga model petrol plug-in hybrid yang ditawarkan menerusi 330e, dan ini mungkin akan diperkenalkan kemudian. Model semasa barisan F30 LCI di Malaysia termasuklah 318i Luxury dan 330e M Sport.

Source: Read Full Article