BMW Malaysia kini sudah mula menerima tempahan bagi 8 Series G15 baru, yang pertama kali ditunjukkan pada bulan Jun tahun lalu. Berdasarkan laman web khas yang dibuat oleh syarikat itu, anda perlu meletakkan RM5,000 sebagai pendaftaran tempahan, tetapi varian apa atau berapa harganya masih belum diberitahu.
Dalam pasaran lain sekarang ini, hanya terdapat dua varian untuk 8 Series baru iaitu yang pertama adalah 840d xDrive yang menggunakan enjin diesel enam silinder sebaris 3.0 liter twin-turbo dengan 320 PS dan 680 Nm tork. Pecutan yang mampu dilakukan oleh varian ini adalah 4.9 saat bagi 0-100 km/j manakala penggunaan bahan api pula antara 5.9 hingga 6.2 liter bagi setiap 100 km.
Satu lagi varian adalah M850i xDrive, yang menggunakan enjin V8 petrol 4.4 liter biturbo M550i versi dinaik taraf, mampu menghasilkan 530 PS dan 750 Nm tork, sekaligus membenarkan pecutan 0-100 km/j yang lebih pantas iaitu 3.7 saat.
Kedua-dua enjin ini datang dengan transmisi automatik Steptronic Sport lapan kelajuan secara standard, bersama sistem pacuan semua roda. Kalau mengikutkan jangkaan kami, berkemungkinan versi yang akan tiba di Malaysia adalah varian petrol.
Sebelum ia muncul sebagai sebuah kenderaan produksi, bentuk awal 8 Series dipertonton melalui model Concept 8 Series, yang juga ada dibawa ke Malaysia tahun lepas. Ia adalah sebuah grand tourer yang menggabungkan dinamik sporty dengan kabin yang mewah dan dilengkapi teknologi terkini BMW seperti OS 7.0 dan Live Cockpit Professional. Anda yang berminat boleh mendaftar terus di laman web khas BMW Malaysia.
Source: Read Full Article