BMW M8 Competition diguna sebagai peronda MotoGP

BMW M telah menyediakan kereta peronda rasmi untuk perlumbaan MotoGP sejak tahun 1999. Jika anda perasan semasa pusingan perlumbaan di Red Bull Ring Austria minggu lepas, modelnya telah ditukar dari M5, kepada yang terbaru, M8. Ia bukanlah M8 biasa, malah adalah menggunakan asas M8 Competition.

“BMW M8 dan M8 GTE telah dibangunkan sekali, dan semua intipati lumba ini membezakan M8 dengan model lain. Sebab itulah kami rasa logik untuk memilih M8 Competition sebagai kereta peronda MotoGP. Malah bagi versi produksi pun, model ini sesuai digunakan di litar,” kata presiden BMW M, Markus Flasch.

M8 Competition datang dengan enjin yang paling berkuasa pernah dibangunkan untuk kereta BMW M, iaitu unit V8 4.4 liter twin turbo S63 (sama seperti M8 biasa). Walaubagaimanapun, model Competition ini ditala untuk menghasilkan lebih kuasa iaitu 625 hp (berbanding 600 hp bagi model biasa), dan 750 Nm tork antara 1,800 dan 5,800 rpm (berbanding 5,600 rpm). Ia dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan xDrive AWD. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 3.2 saat dan apabila menggunakan M Driver’s Package ia boleh mencapai laju maksimum 305 km/j.



Untuk kereta peronda MotoGP ini, M8 tersebut dipasang lagi dengan semua barangan dalam katalog BMW M Performance Parts (boleh dipasang pada kereta produksi). Antara kelengkapannya adalah seperti sistem ekzos titanium, muncung ekzos gentian karbon, alas kaki, pelindung enjin gentian karbon, diffuser belakang gentian karbon, roda stereng M Performance (dengan kemasan gentian karbon dan pedal penukar gear), gril tepi gentian karbon, side skirt gentian karbon dan pelekat khas.

Memandangkan kereta ini mempunyai tugas penting, kelengkapan lumba dan keselamatan lain perlu dipasang seperti kunci bonet khas, pam penyedut bahan api, suis utama bateri, lampu utama boleh berkelip, lampu LED atas bumbung, lampu LED terang di gril hadapan, tempat duduk Recaro dengan tali pinggang Schroth, roll cage, pemadam api, tayar Michelin Cup dan sayap belakang daripada kereta lumba M8 GTE.

Source: Read Full Article