Jika anda pemilik Proton X70, anda mungkin perasan bahawa SUV yang hadir dalam bentuk CBU dari China tersebut diberikan bateri dari jenama Camel Power, yang juga merupakan jenama dari negara Republik Rakyat berkenaan. Sempena acara Automechanika yang berlangsung di KLCC bermula hari ini, Camel Power mengumumkan bahawa mereka akan terus membekal bateri untuk SUV tersebut dan model-model Proton akan datang, serta bertapak di Malaysia secara rasmi.
Menurut Camel Power Malaysia, mereka kini sedang membina kilang sendiri di Kuantan dan bakal dibuka Jun tahun ini. Kilang berkenaan merupakan fasiliti pertama seumpamanya milik firma berkenaan di Asia Tenggara, dan apabila mula beroperasi kelak, ia bakal menjadi kilang bateri automotif terbesar di Malaysia, dakwa Camel Power.
Kilang berkenaan bukan sahaja akan menampung permintaan pengguna tempatan, malah bateri-bateri untuk kegunaan kereta, trak, bas dan jentera pertanian tersebut turut akan dieksport ke negara-negara Asia Tenggara yang lain serta pasaran Australia dan New Zealand.
“Kami berasa bangga dapat menjadi pengilang bateri kenderaan terbesar di Malaysia. Dengan adanya kilang pembuatan terbesar di Malaysia ini, kami jangka akan dapat mengeluarkan kira-kira 5 juta bateri dalam setahun. Tambahan kepada itu, 600 peluang pekerjaan juga bakal diwujudkan di kawasan pantai timur Semenanjung sebaik kilang ini mula beroperasi sepenuhnya pada Jun 2019,” kata Liu Changlai, Ketua Pegawai Eksekutif Camel Group Co. Ltd.
“Camel Power juga sedang dalam proses perundingan dengan beberapa pembuat kenderaan dan kilang pemasangan tempatan untuk mewujudkan kerjasama strategik yang dapat menyokong rancangan persetempatan pada masa akan datang. Seiring dengan tumpuan kami untuk mencapai pertumbuhan mampan di sini, Camel Power bercadang untuk membuat pelaburan berjumlah AS$150 juta,” ujarnya lagi.
Serentak dengan majlis pelancaran jenama berkenaan, Ketua Pegawai Perolehan Proton, Haji Hamizan Bin Osman telah menyerahkan surat perlantikan bagi mengesahkan bahawa Camel Power akan menjadi pembekal bateri rasmi untuk SUV Proton X70 dan model-model akan datang.
Camel Group Co., Ltd telah mula menghasilkan bateri automotif di China pada 1980. Menurut syarikat tersebut, buat masa sekarang satu pertiga kereta di China menggunakan bateri-bateri keluaran mereka dengan penguasaan 22% dalam bahagian pasaran, dan kini merupakan pembuat bateri automotif terbesar di Asia.
Jadi, selain dari Geely, Camel Power turut menjadi pembekal bateri rasmi untuk pengeluar-pengeluar lain pada pasaran tempatannya. Produk-produk dari jenama tersebut juga telah dieksport ke lebih 40 negara di seluruh dunia.
Source: Read Full Article