Selepas menyaksikan peningkatan jualan yang mendadak bagi sesetengah pengeluar bulan Oktober lalu, data jualan mengikut jenama bagi November 2018 nampaknya tidak meneruskan corak yang sama. Paling tidak, sebahagian jenama yang berada di kedudukan lima teratas mencatatkan penurunan jualan bagi bulan November 2018 berbanding bulan sebelumnya.
Mulakan dengan Perodua yang kekal ditangga teratas dan masih mampu mencatatkan pertambahan jualan sebanyak 8.1% (21,110 unit) berbanding bulan Oktober (19,528 unit). Di kedudukan kedua pula, Honda bagaimanapun mencatatkan penurunan jualan sebanyak 2%, kurang 142 unit berbanding jualan bulan lalu.
Proton pula walaupun masih mengekalkan kedudukan ketiga dalam senarai ini tetap merekodkan penurunan jualan juga; berkurang 5.4% bagi November (4,820 unit) berbanding Oktober (5,093 unit). Toyota yang berada di bawah Proton mencatatkan pengurangan jualan yang agak ketara, iaitu sebanyak 19.4% (3,835 unit), berbanding jualan Oktober (4,757 unit).
Lain-lain pengeluar utama yang wajar disebutkan – tambahan pula dengan angka jualan yang meningkat sepanjang November – adalah seperti berikut; Mazda (+14.3%), Volkswagen (+38.8%), Subaru (+43.1%) dan antara yang mencatatkan peningkatan paling tinggi, Hyundai (+183.8%).
Bagi jenama kereta premium dan mewah, tiga pemain utama semuanya mencatatkan peningkatan. Paling ketara ialah Lexus dengan peningkatan jualan sebanyak 86.7%, diikuti BMW dengan peningkatan 16.1% dan Mercedes-Benz dengan kenaikan 3.9%.
Adakah jualan bagi bulan terakhir 2018 ini akan memberi khabar positif kepada lebih banyak pengeluar? Menarik juga untuk dilihat sekiranya model SUV pertama Proton X70 dapat menyumbang lebih banyak jualan kepada jenama itu untuk bulan Disember 2018. Kita nantikan.
Source: Read Full Article