Seperti yang anda ketahui, UMW Toyota telah melantik penyanyi, aktor dan pelumba Toyota Gazoo Racing Vios Challenge untuk kategori Promotional, Janna Nick sebagai duta Toyota Yaris 2019. Dan sempena pelancaran model berkenaan malam ini, Toyota turut mendedahkan Yaris yang dibuat khas untuk Janna.
Kereta istimewa ini dihasilkan dari varian tertinggi Yaris G. Ia juga dari unit dengan warna badan utama Citrus Mica Metallic, bersama kit badan lengkap opsyenal terdiri dari spoiler dagu pada bampar hadapan, skirt sisi, spoiler bumbung pada pintu tailgate belakang serta lips tambahan pada bampar belakang.
Kemudian, badan kereta ini dibalut dengan pelekat pelbagai warna, teridiri dari perang, merah, hitam dan kelabu. Lampu hadapan juga digelapkan dengan menggunakan filem penapis hitam. Paling menonjol adalah rim TRD asli berwarna hitam kilat, berdiameter 17-inci, dibaluti tayar Toyo Proxes T1R 205/45R17.
Bahagian dalaman masih lagi kekal sama, di mana model G ini menerima ciri-ciri standard seperti skrin sesentuh 6.8-inci untuk sistem infotainmen DVD-AVX, kamera 360-darjah, dashcam dan pelbagai lagi.
Toyota Yaris 2019 dijana oleh enjin 1.5L 2NR-FE empat-silinder sebaris, DOHC, 16-injap dengan Dual VVT-i berkuasa 107 PS pada 6,000 rpm dan tork maksima 140 Nm pada 4,200 rpm. Enjin tersebut hanya ditawarkan dengan transmisi CVT automatik, dan istimewa untuk varian E dan G ia turut menerima mod Sport dan tujuh-kelajuan maya Sequential Shiftmatic.
Source: Read Full Article