Geely Binyue PHEV bakal dilancar – mungkinkah akan diambil oleh Proton sebagai hibrid pertama mereka?

Apa yang anda lihat ini adalah Geely Binyue PHEV, iaitu versi plug-in hybrid bagi SUV segmen B yang sebelum ini telah dilancarkan di China dengan enjin petrol. Menurut media di sana, Binyue PHEV ini dijangka diperkenalkan untuk pasaran sana hujung bulan ini ataupun awal Jun nanti.

Melalui imej ini anda boleh melihat kenderaan tersebut disambung kepada pengecas dan masuk kepada kenderaan di fender hadapan sebelah kiri. Selain bentuk bawah bampar dan lambang PHEV di belakang, bahagian lain semuanya kelihatan sama seperti Binyue versi enjin biasa. Ini termasuk juga bumbung hitam dan rim 18 inci itu.

Bahagian dalam yang menurut Geely mendapat inspirasi daripada kokpit pesawat udara juga masih dikekalkan untuk model PHEV ini, tetapi pada bahagian konsol tengah terdapat tambahan tombol yang boleh dipusing untuk memilih mod pemanduan sama ada EV penuh atau Hybrid.



Setakat ini berita yang tersebar mengatakan Binyue PHEV akan menggunakan padanan enjin petrol 1.5 liter turbo dengan motor elektrik, pek bateri dan transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan. Dengan kuasa yang dijangka mencecah 255 hp dan 415 Nm tork, SUV kompak ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat dan kalau menggunakan mod elektrik sahaja, ia boleh pergi sehingga 60 km.

Binyue dibina atas platform modular BMA yang dibangunkan bersama dengan Volvo, dan versi enjin biasa ditawarkan dengan pilihan enjin empat-silinder 1.5 liter turbo suntikan bahan api terus bersama padanan kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan, ataupun enjin 1.0 liter turbo dipadankan bersama transmisi manual enam kelajuan. Kuasanya masing-masing adalah 174 hp/255 Nm dan 134 hp/205 Nm.

Binyue ini sudah tentu sedang dipersiapkan untuk pasaran kita, dan unit ujian sudah pun ditemui atas jalan sejak beberapa bulan yang lepas. Memandangkan sekarang sudah ada versi PHEV di tempat asalnya, mungkinkah nanti Proton akan membawanya ke sini untuk menjadikan ia sebagai kenderaan hibrid pertama mereka?

Source: Read Full Article