Sementara banyak pengeluar yang membawa model baru ke Geneva Motor Show, Goodyear pula tahun ini membuat sesuatu yang berbeza di mana mereka membawa sebuah kereta kustom klasik tahun 50-an yang telah dipulihkan semula iaitu Golden Sahara II.
Ini bukanlah sebuah kereta biasa, malah merupakan antara kereta konsep autonomous pertama yang diperkenalkan di dunia. Jim Street dan George Barris yang membangunkan dan mereka kereta ini mahu menjadikan ia sebagai platform menguji sistem elektronik baru, dan pada masa itu, ia telah dipasang dengan sistem brek automatik yang dapat mengesan objek di hadapan kereta.
Masa baru dibangunkan, Goodyear juga terlibat dengan Golden Sahara II ini, di mana mereka telah memasangnya dengan tayar yang boleh menyala. Dengan tayar seperti ini, Goodyear memberitahu ia dapat menjadikan kereta lebih mudah dilihat dalam cuaca buruk dan juga boleh dijadikan menyala apabila pemandu menekan brek.
Goodyear tidak memiliki Golden Sahara II ini dari awal. Selepas muncul pada tahun 50-an, ia telah dibawa untuk pameran di sekitar Amerika Syarikat dan kemudiannya disimpan sahaja dalam garaj. Pada bulan Mei 2018, Klairmont Kollections telah membelinya daripada Mecum Auctions dan kini dipulihkan semula dengan bantuan Speakeasy Customs dan Classics in Chicago.
“Kami sangat berbangga dapat sekali lagi menjadi rakan kerja dalam projek Golden Sahara II ini. Penemuan dan inovasi terus menjadi asas penting bagi apa yang dilakukan oleh Goodyear. Bekerjasama dalam projek seperti ini memberi peluang untuk kami melebarkan lagi imaginasi dan membayangkan produk serta servis untuk masa hadapan,” kata timbalan presiden konsumer untuk Goodyear Eropah, Henry Dumortier.
Source: Read Full Article