Haramkan kapcai dan motosikal bawah 250 cc dari jalanraya? Ini jawapan dan pertanyaan lanjutan kami

Saya membaca berita berkaitan cadangan pengharaman motosikal kapcai atau yang berkapasiti di bawah 250 cc dari jalanraya di Malaysia yang diusulkan oleh seorang aktivis keselamatan jalanraya, Shahrim Tamrin, dengan fikiran dan perasaan yang bercampur-baur. Berita ini mula sekali dilaporkan oleh The Malaysian Insight.

Pertama, perlu dijelaskan pendirian saya sendiri berkaitan hal ini; saya tanpa ragu-ragu menyokong sebarang usaha dari mana-mana pihak untuk menjadikan jalanraya kita lebih selamat. Ini sangat jelas, tiada sanggahan. Semua kita inginkan suasana dan jaminan keselamatan yang lebih baik ketika berada di atas jalan, tanpa mengira kenderaan apa yang dinaiki. Kata kuncinya di sini; “Selamat untuk semua.”

Dan, di dalam kepala saya, untuk mencapai keadaan yang ideal ini – misalnya untuk menurunkan jumlah angka kemalangan maut di negara ini – ia perlulah melibatkan kesungguhan dan kesedaran dari semua pihak berkepentingan yang terlibat, terutamanya SEMUA pengguna jalanraya. Menyalahkan atau menjadikan hanya satu kelompok sebagai kambing hitam tidak akan dapat menyelesaikan masalah ini.

Keprihatinan Shahrim terhadap angka kematian penunggang dan pembonceng motosikal yang terkorban saban tahun di jalanraya sangat saya hargai. Antara data dari PDRM yang dikongsi dan dilaporkan, sepanjang tahun 2018 sahaja seramai 4,128 orang telah maut. Setahun sebelum itu, pada 2017, angkanya 4,348 orang. Ini sangat menakutkan sekaligus meresahkan.

Cuma bila tiba kepada cadangan yang diusulkannya, iaitu untuk mengharamkan sama sekali penggunaan motosikal berkapasiti enjin di bawah 250 cc atau kapcai kuasa rendah di jalanraya, saya tak dapat membohongi diri sendiri dan merasakan cadangan itu sangat bermasalah. Bagaimana cadangan seperti itu boleh terdetik dalam benak seorang aktivis keselamatan jalan raya yang menurut saya, seharusnya mempunyai pandangan dan kefahaman yang meluas terhadap hal-hal berkaitan lainnya, bukan sekadar apa yang berlaku di atas jalan? Saya akan huraikan pandangan saya di sini.

Motosikal kapcai atau yang berkuasa 250 cc ini merupakan penyelesaian ekonomi yang paling ampuh di dalam kehidupan sebahagian besar daripada mereka-mereka yang bergerak di atas jalanraya kita saban hari. Ia serampang dua mata; merupakan penyelesaian paling ekonomis dalam kehidupan dan dalam masa sama, menjadi sumber kepada mata pencarian untuk menampung keperluan ekonomi isi rumah – dengan cara paling cekap dan jimat.

Kos pemilikan dan kos penggunaan motosikal 250 cc atau kapcai ini sangat rendah dan menepati kemampuan sebahagian besar golongan kelas menengah pengguna jalanraya di Malaysia. Ia juga merupakan pilihan yang menjimatkan tenaga; bayangkan bagaimana situasi misalnya mereka yang berkereta, tetapi hanya memandu dan menjadi satu-satunya penumpang di dalamnya yang kemudiannya seperti kita tahu, menyumbang kepada keadaan kesesakan lalu lintas yang tidak perlu? Kerana, jika hanya bergerak seorang diri, motosikal menjadi penyelesaian yang lebih membawa manfaat bukan kepada diri penumpang sendiri, tetapi juga untuk orang lain. Ini hanya satu contoh.

Juga, belum lagi kita membicarakan tentang masalah kegagalan perancangan bandar yang kita hadapi hari ini; bangunan ruang pejabat atau tempat kediaman yang bercambah dibina tetapi tanpa ruang meletak kereta yang mencukupi, yang setanding dengan kapasiti penduduk atau pengguna di bangunan-bangunan tersebut. Sekali lagi, motosikal menjadi penyelesaian yang sangat berkesan terhadap masalah ini. Tetapi, entah disedari atau tidak, tempat meletak motosikal saja masih gagal disediakan secukupnya, dengan akses yang mudah, di kebanyakan tempat.

Lagi cerita tentang ekonomi. Jika usul itu cukup bernas, bagaimana nasib penunggang-penunggang yang mencari rezeki tambahan dengan melakukan pekerjaan sebagai despatch makanan seperti Food Panda, Grab Food, Dah Makan, Honest Bee dan sebagainya yang hampir semuanya menggunakan kapcai? Pernah difikirkan tentang renjatan yang akan berlaku terhadap kitaran eko-sistem ini sekiranya cadangan itu dilaksanakan? Apa penyelesaian lain untuk mereka-mereka yang sanggup bekerja lebih menggunakan medium motosikal ini? Tentulah, motosikal dengan enjin lebih besar bukan pilihan bijak kerana ia tidak cekap dari segi kos.

Kita alihkan perhatian kepada situasi kemalangan pula. Memang tidak dinafikan, kelompok penunggang dan pembonceng motosikal paling ramai menerima kesan, seperti statistik yang dinyatakan tadi. Tetapi, lebih menarik untuk dipertanyakan, adakah dalam banyak kes, motosikal yang menjadi punca atau mereka sekadar menjadi mangsa keadaan?

Pecahan statistik seperti ini akan dapat memberi gambaran yang lebih jelas terhadap budaya jalanraya di Malaysia. Ini kerana, daripada statistik lain yang dikongsikan dalam laporan berkenaan juga ada dinyatakan bahawa pada 2018, kemalangan kereta atau motokar lain adalah yang paling tinggi, iaitu 591,399 kes berbanding yang melibatkan motosikal sebanyak 113,288 kes. Cumanya, penunggang dan pembonceng mencatatkan peratusan kematian paling tinggi, sekitar 65% daripada keseluruhan kematian yang dicatatkan.

Maksudnya, saya tidak membela membuta tuli golongan penunggang atau pembonceng. Memang ada segelintir daripada kelompok ini yang tidak berhemah, dengan sikap tunggangan merbahaya dan sebagainya. Kita tidak perlu berkompromi misalnya dengan golongan mat rempit yang kerjanya berlumba haram atau membuat aksi ‘superman’ di jalan raya, atau penunggang-penunggang yang kerap melanggar peraturan lalu lintas. Kenal pasti dan kenakan hukuman seberat mungkin kepada mereka, tak ada siapa yang akan berasa kasihan.

Tetapi, yang menjadi masalah ialah sikap pukul-rata atau ‘sweeping statement’ yang dibuat oleh Shahrim terhadap golongan penunggang dan pembonceng motosikal. Bagaimana hendak diletakkan beban kesalahan itu ke atas bahu semua penunggang kapcai bawah 250 cc tanpa mengambil kira faktor-faktor lain yang turut menyumbang kepada angka kematian pengguna motosikal, yang sudah tentu sangat berbeza dari satu kes ke satu kes yang lain? Adakah itu adil kepada penunggang motosikal? Mengapa hendak dinafikan pula hak mereka ini untuk bermotosikal?

Selain itu, saya sendiri ingin tahu, misalnya sejauh mana bersungguh dan berkesannya penguatkuasaan yang dikenakan terhadap pemandu kereta yang menggunakan telefon ketika memandu? Begitu juga dalam banyak situasi, ketika motosikal hanya menjadi mangsa kecuaian pemandu kereta dan kenderaan lain? Adakah anda tidak pernah melihat situasi di mana kereta yang mengubah lorong secara membuta tuli dan melanggar penunggang yang berada di titik buta? Ini berlaku di atas kecuaian siapa?

Dalam banyak keadaan seperti itu, penunggang motosikal tidak menunggang laju pun, terutama ketika aliran trafik agak banyak. Jadi, apa cadangan terhadap pemandu kereta atau kenderaan lain yang cuai dan menyebabkan kematian penunggang motosikal? Adakah dengan mengharamkan sama sekali penggunaan kereta di jalanraya? Ini pertanyaan-pertanyaan yang ingin saya ajukan kepada Shahrim sendiri.

Untuk berlaku adil, beliau mencadangkan juga kapcai yang diharamkan itu diganti dengan penggunaan skuter elektrik dengan kelajuan dihadkan di bawah 80 km/j, untuk mengelakkan daripada penunggang membawa motosikal dengan laju. Apa kaitannya sikap pemanduan kenderaan lain terhadap kebarangkalian kemalangan yang disebabkan oleh kecuaian yang tidak pun berkaitan dengan berapa kelajuan penunggang motosikal?

Seperkara lagi yang membuatkan saya begitu mual meneliti hujah yang dikeluarkan – berkaitan subjek apa pun – adalah ketika pengusul terpaksa memetik nama negara-negara lain, dalam konteks ini, China dan Taiwan, yang katanya telah lama mengharamkan kapcai. Pandangan ini bagi saya datang dari orang yang tidak faham latar masyarakat yang berbeza-beza di setiap negara; China dan Taiwan sejak dulu lagi merupakan pasaran besar untuk motosikal jenis skuter, dan tak pernah kapcai mendapat perhatian meluas dalam pasaran di sana.

Hal-hal dangkal seperti ini tidak seharusnya dijadikan contoh atau alasan melulu untuk mengolah persetujuan umum terhadap perkara ini, kerana dari awal lagi, ia bermula dengan pandangan yang juling; situasi dan keperluan pengangkutan semasa di Malaysia sangat berbeza berbanding di Taiwan dan China. Seharusnya pemerhatian yang lebih terperinci dilakukan dengan mengambil latar di sini, bukan sekadar meminjam-minjam situasi di negara lain untuk dijadikan alasan mudah. Apa pula pandangan anda?

Related Cars for Sale on









Source: Read Full Article