Harga KTM 790 Adventure dikeluarkan di AS – dalam lingkungan yang hampir dengan BMW 850 GS

Tahun lepas KTM telah mendedahkan enjin kapasiti sederhana baru mereka yang menggunakan dua silinder selari melalui model Duke 790, dan ia adalah sesuatu yang besar bagi pengeluar motosikal dari Austria itu kerana sebelum ini mereka cuma menggunakan enjin satu silinder untuk model kapasiti sederhana.

Kemudian, satu lagi model yang menggunakan asas sama, tetapi mempunyai bentuk motosikal jelajah pula didedahkan iaitu 790 Adventure. Ramai yang teruja dengan model ini bukan sahaja kerana enjin baru daripada KTM, tetapi juga kerana gayanya, dan kini harganya pula telah dikeluarkan.

Laman KTM Twins mendapat senarai harga model ini lebih awal dan di dalamnya tertera 790 Adventure diletakkan pada harga USD12,499 (RM50,820) untuk model Standard dan USD13,499 (RM54,886) untuk model 790 Adventure R. Harga ini adalah untuk pasaran Amerika Utara.



Melihat kepada model itu sahaja, ia mungkin nampak menarik, tetapi apabila dibandingkan dengan beberapa pesaing terdekatnya dalam pasaran sama, mulalah akan wujud persoalan sama ada ia benar-benar berbaloi. Kalau mengikutkan kapasiti enjin 799 cc padanya, model pesaing paling dekat adalah BMW F850 GS, dan harganya adalah bermula USD13,195 (RM53,650). Di Malaysia, BMW F850 GS dijual pada harga bermula RM79,500.

Kelengkapan lain yang ada pada 790 Adventure adalah termasuk brek cakera hadapan berkembar 320 mm dengan angkup empat piston, brek cakera 260 mm dengan angkup dua piston di belakang, tangki bahan api 20 liter, tempat duduk yang boleh dilaras, ABS, Motorcycle Traction Control, pilihan mod tunggangan serta panel instrumen TFT warna penuh berukuran lima inci.

Jadi, sekiranya diambil dalam konteks pasaran Malaysia dan KTM Malaysia mengambil pendekatan yang sama untuk menetapkan harga pasaran 790 Adventure, ia akan dijual dalam lingkungan harga RM80,000. Adakah anda rasa ia berbaloi?

Source: Read Full Article