Harga motosikal berbeza antara kedai – kami lakukan tinjauan sendiri di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor

Isu harga jualan motosikal yang berbeza apabila dibandingkan antara kedai bukanlah satu isu baru. Ia sudah sering kali menjadi bualan dan ramai juga yang mengatakan mereka mengalami sendiri perkara itu semasa melakukan tinjauan sebelum membeli motosikal.

Bagi mengetahui sendiri benarkah ia terjadi seperti yang disebut-sebut, kami membuat keputusan untuk pergi ke beberapa kedai untuk bertanyakan harga motosikal yang sama. Model yang dipilih sudah tentu adalah Yamaha Y15ZR V2 yang sekarang ini cukup popular, dan sebagai perbandingan, kami turut menyertakan sekali Honda RS150R (warna biasa dan bukannya Repsol).

Untuk kedainya pula, kami tidak membuat pilihan tertentu, dan sekadar memilihnya secara rawak, namun dari beberapa kawasan yang berbeza dan bukan daripada syarikat yang sama. Insurans juga adalah untuk pakej yang sama (first party). Kalau mengikutkan cerita yang didengar sebelum ini, perbezaan harga ini cuma berlaku untuk motosikal kapcai, dan juga model yang popular sahaja.

Anda boleh lihat melalui jadual di bawah, harga jualan tunai yang dikeluarkan oleh kedai A dan B untuk Y15 V2 adalah sama, manakala kedai C dan D pula berbeza dengan satu daripadanya lebih murah dan satu lagi lebih mahal. Sama juga dengan RS150R – tiga kedai memberi harga yang sama sementara satu lagi lebih murah. Harga ini adalah termasuk insurans dan kos pendaftaran lain, sementara harga jualan cadangan tidak termasuk insurans yang dikeluarkan oleh pengilang masing-masing adalah RM8,168 untuk Y15 dan RM7,999 untuk RS150R (warna biasa).

Jadi, dari sini sahaja kita boleh lihat apa yang dikatakan itu adalah benar. Sekiranya anda bercadang untuk membeli motosikal tersebut melalui pinjaman sewa beli, tiga kedai yang berada dalam senarai memberikan sebut harga yang sama kerana ia adalah daripada pemberi pinjaman yang sama iaitu Parkson Credit, sementara satu lagi kedai memberi harga yang lebih murah kerana menurut pekerjanya ia adalah kadar istimewa yang diberikan oleh AEON Credit sebagai promosi.

Walaubagaimanapun, kira-kira yang diberikan ini cuma adalah anggaran kerana menurut beliau lagi, kadar ini boleh berubah bergantung kepada pemohon dan jika rekod mereka baik, ia mungkin boleh pergi lebih rendah. Pinjaman sewa beli ini juga bergantung kepada berapa jumlah bayaran deposit serta tempoh bayaran yang anda mahukan.

Jika diikutkan, memang kami mahu bertanya pelbagai lagi perkara berkenaan harga yang berbeza ini kepada pekerja kedai-kedai ini tetapi kebanyakan daripada mereka tidak begitu ramah kecuali Kaka (nama panggilan ringkas beliau) daripada kedai C (harga paling murah).

Kaka memberitahu kedai beliau adalah pengedar rasmi (official dealer) dan “pemilik kedai adalah seorang yang jujur.” Disebabkan itu, semua stok mereka datang terus dari kilang (Hong Leong Yamaha atau Boon Siew Honda), sementara ada antara kedai lain yang menjual dengan harga lebih mahal ini mungkin adalah ‘sub dealer’.


Kemudiannya anda juga boleh melihat waktu menunggu untuk motosikal ini adalah berbeza. Disebabkan baru sahaja dilancarkan bulan lalu dan permintaannya tinggi, pembeli perlu menunggu tiga hingga empat minggu untuk Y15 (warna hijau yang cukup popular lebih lama) sementara RS150R pula ada yang sudah tersedia di kedai.

Kami juga mendapat tahu, jika ada pembeli yang mahukan motosikal mereka dengan lebih cepat, mereka boleh membayar lebih (tidak pasti berapa banyak) dan ‘memotong barisan’ sedia ada. Peluang juga lebih cerah sekiranya anda membayar secara tunai.

Daripada tinjauan kami ini, beza harganya mungkin cuma beberapa ratus sahaja, dan ini mungkin kerana semua kedai berada dalam kawasan Kuala Lumpur dan Selangor sahaja. Namun, ada yang mendakwa ia boleh jadi lebih teruk, sehingga RM12,000 untuk Y15. Kalau anda ada pengalaman sendiri, cuba kongsikan di ruang komen.

Jadi kami harap melalui artikel ini pihak yang berkuasa dapat mengambil langkah-langkah sepatutnya bagi mengelakkan perkara ini berleluasa dan sekaligus tidak membebankan pengguna atau orang ramai. Tanpa sebarang kawalan, isu ini akhirnya akan bergantung kepada persoalan bekalan dan permintaan (supply and demand) manakala penjual pula semakin besar kepala. Anda sebagai pengguna bijak sepatutnya tahu apa yang perlu dilakukan.

Related Cars for Sale on









Source: Read Full Article