Lanjutan dari berita pengesahan Honda bahawa mereka akan menutup ‘kampung halaman Honda Civic Hatchback dan Type R’ iaitu kilang Swindon UK pada 2021, Honda dikatakan akan memindahkan produksi kedua-dua model tersebut bagi generasi seterusnya ke satu lagi kilangnya di Amerika Syarikat, lapor Autoblog.
Menurut Honda, mereka berminat untuk memproduksi semula Civic Hatchback di Amerika setelah melihat model tersebut untuk generasi sedia ada agak popular di negara berkenaan. Sehingga kini, hampir 20% jualan Civic di Amerika adalah dari versi hatchback, melangkaui apa yang disasarkan sebelum ini.
Untuk versi lebih liar, Civic Type R juga dilihat relevan untuk dipasang di Amerika memandangkan enjin K20C 2.0 liter VTEC Turbo sememangnya sedang dipasang di Ohio.
Honda juga menyatakan kepada portal berkenaan bahawa produksi Civic di Amerika ini tidak akan bermula di Amerika sehinggalah model generasi baharu diperkenalkan, dan ini membayangkan bahawa Honda Civic generasi ke-11 mungkin akan muncul sekitar tahun 2020 atau 2021.
Kilang Honda Swindon, UK dibina di atas bekas lapangan terbang, yang sebelum itu hanya digunakan untuk membuat pemeriksaan akhir sebelum penghantaran (PDI) pada tahun 1985. Operasi penghasilan enjin bermula pada tahun 1989 dan tiga tahun selepas itu Honda UK mula memasang model lengkap Accord di kilang berkenaan.
Fasiliti ini juga adalah pusat dimana terhasilnya model-model Type R dari Honda UK seperti Honda Accord Type R, Civic Type R EP3, Civic Type R FN2 dan Civic Type R FK2 – kesemua ini tidak dibuat di Jepun. Malah model Type R terkini iaitu Civic Type R FK8 juga hanya dihasilkan di Swindon dan dieksport keseluruh dunia termasuk Jepun.
Langkah untuk menutup kilang tersebut bukanlah disebabkan Brexit, tetapi adalah langkah penstrukturan semula jaringan pembuatan global Honda yang akan menumpukan kepada teknologi elektrik.
Buat masa sekarang, kilang Swindon ini memproduksi 150,000 unit kereta setahun dioperasikan oleh kira-kira 3,500 orang pekerja. Walaupun kilang tersebut akan ditutup, ibu pejabat Honda Eropah masih akan kekal di UK. Jadi Honda menyatakan bahawa rundingan untuk pekerja-pekerja yang mungkin akan terjejas akan bermula sekarang.
Source: Read Full Article