Honda Civic Versatilist dan empat model ubahsuai lain akan dibawa ke Tokyo Auto Salon 2019 bulan hadapan

Acara tahunan ubahsuai kenderaan JDM, Tokyo Auto Salon untuk edisi 2019 (TAS 2019) bakal dilangsungkan tidak sampai sebulan dari sekarang, dan pengeluar-pengeluar serta jenama-jenama penala dari negara matahari terbit tersebut kini sudah mula mengumumkan apa yang akan mereka bawa ke pameran berkenaan.

Bagi Honda, mereka akan menampilkan tema “Life with Honda” untuk TAS 2019, menampilkan lima kenderaan ubahsuai yang kearah gaya hidup masa kini. Barisan model-model tersebut adalah Honda Civic Versatilist, Modulo Neo Classic Racer, Honda Well Concept, Honda Trip Van dan juga Honda Fit Elegant Color Colle.

Kita mulakan dengan Honda Civic Versatilist. Menurut Honda, ia perlu disebut sebagai Civic Versa-Tie-List dan dibina berasaskan Civic Hatchback generasi ke-10 FK7. Kereta ini diberikan penggayaan seperti crossover berdasarkan konsep “Next Active Vehicle” dan hadir bersama kit-kit aero serta panel-panel pelindung tambahan dan kelegaan tanah yang lebih tinggi.


Beralih ke Modulo Neo Classic Racer pula, kereta ini sebenarnya diasaskan dari model sport K-Car Honda S660 bersama kit “Neo Classic” yang diperkenalkan pada September lalu, serta diberikan lebih perincian dan juga kit aero seperti kereta lumba oleh divisi aksesori rasmi Honda iaitu Modulo.

Untuk Honda Well Concept pula, ia sebenarnya adalah MPV kompak Honda Stepwgn yang diberikan muka lebih comel dengan lampu hadapan bulat. Honda menyatakan bahawa Well Concept ini dibina disasarkan bagi menjadi sebuah kenderaan yang “kuat dan bergaya pada luaran dan dalaman”, serta “lembut dan seronok” sebagai kereta keluarga.

Manakala untuk Honda Trip Van pula, ia dihasilkan dari kei-Van Honda N-Van “yang membolehkan anda menikmati hobi ketika mengembara”. Honda menyatakan bahawa van kompak ini diubahsuai untuk mereka yang aktif dengan hobi luncur air dan sangat sesuai untuk mengembara ke pantai-pantai seluruh Jepun.


Akhir sekali adalah Honda Fit Elegant Color Colle. Nama kereta ini sudah jelas bahawa ia adalah hatchback segmen-B Fit (atau Jazz di Malaysia). Fit asas itu sendiri sudah cukup bersifat feminin, manakala model ubahsuai Elegant Color Colle ini diberikan penggayaan yang lebih feminin dengan inspirasi “neat feel” dan “kecomelan dewasa”, dihasilkan dari warna-warna lembut.

Kami sendiri akan ke Tokyo Auto Salon 2019, dan sekiranya anda mahu lebih tahu berkenaan model-model Honda yang akan dipamerkan ini, terutama Civic Versatilist, nantikan laporan dari kami bermula 11 hingga 13 Januari nanti.

Source: Read Full Article