Pada 2016, Hyundai dilihat menguji kereta sport enjin tengah mereka yang digelar Hyundai Racing Midship 16 N Concept. Nampaknya kereta berkenaan akan dijelmakan dalam versi pacuan motor elektrik sepenuhnya pada masa akan datang setelah jenama Korea tersebut mengumumkan kerjasama mereka bersama pengeluar supercar elektrik dari Croatia, Rimac Automobili.
Di bawah kerjasama ini, Hyundai akan melabur sebanyak 64 juta euro (RM280 juta), manakala sekutunya Kia juga akan menyertai kerjasama bersama Rimac ini dengan pelaburan sebanyak 16 juta euro (RM75 juta). Selain dari membina prototaip kereta sport berkenaan, pakatan tersebut turut akan menghasilkan kereta janaan sel bahan api (fuel cell) berprestasi tinggi, di mana kedua-duanya akan dijelmakan dalam bentuk produksi.
“Rimac merupakan syarikat yang inovatif dengan kemampuan yang menakjubkan dalam kenderaan elektrik berprestasi tinggi. Susur galur dan pengalaman luas bekerjasama dengan banyak pengeluar digabungkan dengan kehebatan tenknologi menjadikan Rimac rakan kongsi paling ideal untuk kami. Kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan Rimac dalam perjalanan kami kearah mobiliti bersih,” kata Euisun Chung, timbalan pengerusi eksekutif Hyundai Motor Group.
Pengasas dan CEO Rimac Automobili, Mate Rimac pula berkata, “kami sangat tertarik dengan visi Hyundai dan juga inisiatif yang pantas dan tegas. Kami percaya kerjasama teknologi ini akan menghasilkan nilai maksimum untuk syarikat kami dan pelanggan mereka.”
“Rimac masih muda dan kecil tetapi merupakan syarikat yang berkembang dengan cepat. Kami lihat Hyundai Motor Group sebagai pelabur yang kuat dan rakan teknologi dan kami percaya kerjasama ini akan menaikkan posisi kami ke pembekal tingkat pertama komponen elektrifikasi ke dalam industri,” katanya lagi.
Hyundai merancang bagi menghasilkan 44 buah model mesra alam menjelang tahun 2025, dan mereka akan mengembangkan kerjasama ini bagi meningkatkan kebolehan R&D sedia ada mereka. Setakat ini, tiada sebarang pengumuman untuk model talaan khas Hyundai N dari model produksi biasa, tetapi dengan hadirnya Rimac, tidak mustahil ia turut akan dihasilkan.
“Kami mahu menghasilkan kenderaan berprestasi tinggi yang bukan sahaja laju dan berkuasa tetapi turut memenuhi jangkaan tertinggi dari pelanggan untuk kereta impian mereka. Matlamat kami adalah untuk mempopularkan kenderaan elektrik dan mewujudkan nilai sosial menerusi teknologi bertaraf dunia dan inovasi dalam prestasi,” kata ketua produk Hyundai, Thomas Schemera.
Source: Read Full Article