Ketika pendedahan Hyundai Sonata generasi keempat di New York International Autoshow 2019, jenama Korea berkenaan membuat kejutan dengan pengumuman bahawa sedan segmen-D keluaran mereka itu akan ditampilkan dengan lencana N-Line pada masa akan datang, dijana oleh enjin yang mampu menghasilkan 275 PS!
Perkara ini dinyatakan sendiri oleh CEO Hyundai Motor America, Brian Smith dengan ucapan pendek mengatakan Sonata 2020 akan hadir dalam versi hibrid pada musim bunga tahun hadapan, dan model N-Line berkenaan akan menyusul selepas itu.
Smith tidak memperincikan lebih lanjut berkenaan Sonata yang lebih berkuasa tersebut. Namun dengan angka “275 hp” yang disebut, Sonata N-Line mungkin akan dijana enjin 2.0 liter Turbo-GDI yang sama dengan hot-hatch Hyundai i30 N dan Veloster N.
2020 Hyundai Sonata
Sekiranya model ini benar-benar diperkenalkan kelak, Sonata N-Line tentunya akan memberikan saingan sengit kepada Honda Accord 2.0 liter VTEC Turbo pada pasaran Amerika Syarikat, yang dijana enjin sama seperti Honda Civic Type R FK8, ditala dengan kuasa 252 hp/370 Nm bersama kotak gear automatik 10-kelajuan.
Hyundai Sonata generasi keempat ini akan mula diproduksi di kilang Hyundai Alabama September nanti, dan bakal dijual bermula Oktober 2019. Buat permulaan, ia hadir dengan dua pilihan enjin iaitu 1.6 liter Turbo-GDI berkuasa 185 hp/241 Nm dan juga 2.5 liter NA GDI menjana 191 hp/245 Nm. Kedua-dua enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear automatik konvensional lapan-kelajuan
Source: Read Full Article