Kawasaki KLX 230 buat kemunculan pertama di dunia – enjin kini gunakan sistem suntikan bahan api, RM12k

Media permotoran di Indonesia semalam menerima kejutan di acara Ekspo Antarabangsa Jakarta (JIE). Mereka sudah tahu Kawasaki akan melancarkan sesuatu, dan ramai yang menyangkakan ia adalah model sports, tetapi akhirnya yang didedahkan adalah KLX 230 dalam pilihan empat warna.

Model ini nanti akan mengisi ruang antara KLX 150 dan KLX 250, dan daripada gambar ini, sudah tentu anda boleh melihat perbezaan rekaannya. Namun, itu bukan keistimewaan utama motosikal ini, tetapi adalah enjin satu silinder SOHC barunya yang berkapasiti 233 cc dan menggunakan sistem suntikan bahan api.

Ia adalah satu perubahan yang besar bagi siri model KLX dari Kawasaki dan penampilan di Indonesia ini adalah kemunculan pertama KLX 230 di seluruh dunia. Enjin baru ini boleh menghasilkan 19 PS pada 7,600 rpm serta 19.8 Nm tork pada 6,100 rpm dan walaupun jumlah ini sedikit rendah berbanding KLX 250, Kawasaki menjanjikan operasi yang lebih lancar dan menjimatkan.



Sebenarnya bukan setakat enjin, keseluruhan bahagian motosikal ini adalah baru, termasuklah bahagian casis. Kelengkapan lain pada KLX 230 adalah termasuk fork teleskopik biasa di hadapan, meter jenis digital, rim 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, brek cakera, tangki bahan api 7.5 liter dan berat 132 kg.

Bersempena pelancaran ini, Kawasaki Indonesia menjual KLX 230 dengan harga promosi iaitu 39.9 juta rupiah (RM11,546) untuk versi standard, manakala versi Special yang menggunakan kombinasi warna hitam/biru dan hitam/oren dijual pada harga 42.3 juta rupiah (RM12,241). Di Malaysia, Kawasaki KLX 150 BF pun sudah mencecah harga sekitar RM13k.

Source: Read Full Article