Syarikat induk bagi Kia iaitu Hyundai Motor Group telah membangunkan teknologi transmisi Active Shift Control (ASC) yang pertama di dunia. Inovasi ini dikatakan dapat mengoptimakan kecekapan transmisi dengan memerhati penukaran gear 500 kali setiap saat, sekaligus boleh melaras dengan tepat kelajuan putaran transmisi untuk waktu penukaran yang lebih pantas. Ia sangat berguna terutamanya bagi kenderaan hibrid akan datang Kia.
ASC menggunakan perisian pengawal logik baru untuk Hybrid Control Unit (HCU), yang kemudian mengawal motor elektrik untuk menyelaraskan laju putaran enjin dengan transmisi, bagi mengurangkan waktu penukaran gear sehingga 30%. Walaupun lebih pantas, teknologi ini masih dapat memberikan penukaran gear yang lebih lancar.
Biasanya kereta hibrid tidak menggunakan torque converter demi memastikan kecekapan bahan api dan mengelakkan kehilangan kuasa waktu penukaran gear. Walaupun menjimatkan bahan api, sistem ini mengambil masa yang lebih panjang untuk penukaran gear, demi memastikan ia berlaku dengan lancar.
Melalui ASC pula, motor elektrik boleh terlibat sama untuk mengawal penukaran gear, sekaligus mengatasi masalah penukaran gear yang lambat. HCU dapat memastikan penyelarasan yang lebih pantas, sekaligus mengurangkan waktu penukaran gear dari 500 ms kepada 350 ms. Ini juga meningkatkan lagi prestasi pecutan kenderaan hibrid, kecekapan penggunaan bahan api dan ketahanan dengan mengurangkan geseran waktu penukaran gear.
“Pembangunan teknologi ASC yang pertama di dunia ini adalah satu inovasi luar biasa yang menggabungkan kawalan motor tepat dengan transmisi automatik. Ia bukan sahaja dapat menjimatkan bahan api malah juga memberikan pengalaman pemanduan yang lebih menyeronokkan untuk pelanggan kami,” kata timbalan presiden dan ketua bahagian sistem kawalan enjin kumpulan Hyundai Motor Group, KyoungJoon Chang.
Source: Read Full Article