Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan kerajaan akan memastikan harga RON95 bagi pengguna yang tidak layak mendapat subsidi bersasar, tidak meningkat dengan margin terlalu besar walaupun harga bahan api itu diapungkan mengikut harga pasaran.
Katanya, peningkatan dengan margin terlalu besar akan memberi kesan langsung kepada Indeks Harga Pengguna (IHP), sekali gus menyebabkan inflasi meningkat.
“Katakanlah pada hari pertama pelaksanaan nanti, perbezaan harganya 30 sen. Itu kita tidak mahu berlaku. Walaupun harus berlaku kenaikan 30 sen, ia harus dilakukan secara berdikit-dikit dalam satu tempoh tertentu contohnya antara enam ke lapan bulan,” katanya seperti yang dilaporkan Bernama.
Beliau berkata kementerian juga mendapatkan panduan daripada Jabatan Statistik yang membuat simulasi impak kenaikan bahan api pada kadar tertentu terhadap kenaikan IHP dalam menetapkan harga bahan api.
Ditanya sama ada penetapan harga minyak akan dibuat secara mingguan atau bulanan seperti yang dilaksanakan kerajaan terdahulu, Saifuddin berkata perkara itu masih dalam peringkat perbincangan dengan Kementerian Kewangan.
“Sebelum ini diputuskan berdasarkan mingguan. Kami menerima banyak maklum balas daripada pengedar dan syarikat minyak serta orang ramai. Oleh itu, kita perlu mengkaji secara menyeluruh untuk menentukan format yang terbaik,” katanya.
Related Cars for Sale on
Source: Read Full Article