Hujung Mac lalu, Naza Kia Malaysia umumkan pengenalan model Optima EX terbaru, yang ditawarkan di bawah varian GT dan dijual pada harga RM139,888 (atas jalan tanpa insurans). Ia menjadikannya RM30,000 lebih murah berbanding GT – dan hanya menggunakan enjin 2.0 liter, tanpa turbo.
Enjin 2.0 CVVL ini memberikan kuasa sehingga 163 PS dan tork 196 Nm, dan dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan konvensional. Prestasi enjin ini sedikit rendah berbanding enjin GT yang menggunakan unit 2.0 T-GDi dengan kuasa 245 PS dan 350 Nm – enjin EX kurang 82 PS dan 164 Nm janaan output.
Kia Optima EX menerima gril “vertical intaglio”, lampu utama LED projektor berkembar, serta corong bawah baharu dengan palang mendatar – sedikit lebih ringkas berbanding GT. Lampu kabus LED yang digunakan bagaimana pun mirip yang ada pda GT. Lain-lain ciri luaran termasuk lampu belakang gabungan LED dan roda aloi pelbagai-jejari 17-inci.
Di dalam, kabinnya dilengkapi tempat duduk pemandu berkuasa elektrik dengan fungsi memori, tempat duduk fabrik hitam, brek parkir elektrik, kunci pintar dengan butang penghidup enjin dan sistem infotainmen tujuh-inci dengan fungsi Android Auto dan Apple CarPlay.
Ia turut dilengkapi dengan paparan 360-darjah yang tidak disertakan pada model Optima EX terdahulu. Ada tiga pilihan warna; Aurora Black, Snow White Pearl dan Platinum Graphite dan ia termasuk juga dengan jaminan lima-tahun/tanpa had perbatuan.
Source: Read Full Article