Selepas ditunjukkan untuk beberapa ketika sebelum ini, akhirnya Ford Ranger Raptor dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Yang dinanti-nantikan tentulah harganya; RM199,888 atas jalan tidak termasuk insurans. Harga ini lebih murah berbanding di negara Raptor dipasangkan, Thailand (RM215,800).
Pengenalan ini kurang sebulan selepas barisan trak pikap Ranger yang lain dirasmikan di Malaysia, Oktober lalu. Raptor menggunakan enjin baru, 2.0L EcoBlue empat-silinder dengan ciri bi-turbo, yang menjana sebanyak 213 PS kuasa dan juga 500 Nm meter. Bagi transmisi, ia menggunakan kotak gear automatik baru dengan 10-kelajuan dengan ciri SelectShift.
Perbezaannya adalah dari penampilan yang dilihat; dengan kedudukan yang sedikit lebih tinggi dan lebar, serta gril depan dengan tulisan Ford yang besar – imej yang diwarisi dari model trak besar Ford F-150 yang terkenal di Amerika.
Namun, ia sama sekali tidak sama dengan versi Wildtrak yang ditawarkan, walaupun mungkin berkongsi enjin dan transmisi yang sama. Raptor menggunakan casis yang berbeza, serta sistem suspensi Fox Racing Shock, sama seperti yang digunakan oleh F-150 Raptor dengan Position Sensitive Damping (PSD) untuk lebih keselesaan ketika pemanduan lasak. Ia hadir dengan rim 17-inci aloi dengan tayar BFGoodrich 33-inci All-Terrain.
Kelengkapan lain termasuk lampu utama xenon dengan DRL LED, lampu kabus LED, sistem pintar tanpa kunci, butang penghidup enjin, lampu dan pengilap cermin automatik, cermin pandang belakang anti-silau, kedap kebisingan aktif, soket 230 volt serta sistem infotainmen SYNC 3 dengan skrin sentuh lapan-inci dan juga sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.
Antara ciri lain yang melengkapi model ini termasuk kawalan kestabilan ESC, bantuan mula mendaki, kawalan menuruni curam, kawalan beban adaptif dan bantuan mengekalkan lorong. Ciri autonomous emergency braking (AEB) dan kawalan cruise yang ada pada model Ranger Wildtrak 4×4 juga ada.
Source: Read Full Article