Didedahkan pada pertengahan tahun lalu, kemudian kami jumpa depan mata di Singapura awal tahun ini, dan akhirnya SUV segmen-B Hyundai Kona kini mendarat di Malaysia. Crossover kompak tersebut kini sedang dipamerkan di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018 yang berlangsung di MITEC, tetapi ia hanya diprebiu terlebih dahulu, manakala pelancarannya di sini berkemunginan bulan Mei tahun hadapan.
Dua versi ditayangkan pada acara berkenaan iaitu 1.6 liter turbo petrol dengan sistem suntikan terus (T-GDI) dan juga versi elektrik sepenuhnya – model tanpa enjin petrol berkenaan adalah lebih kepada untuk menunjukkan teknologi yang ada pada Hyundai, dan bukan sebagai petunjuk ia akan dijual di sini.
Kona merupakan crossover yang akan berhadapan dengan Toyota C-HR, Honda HR-V dan juga Mazda CX-3 sekiranya masuk ke Malaysia kelak. Ia dihasilkan dengan dimensi 4,165 mm panjang, 1,800 mm lebar manakala jarak rodanya pula adalah 2,600 mm. Berbanding Honda HR-V, SUV Korea ini adalah 129 mm lebih pendek tetapi 28 mm lebih lebar dan 55 mm lebih rendah. Untuk jarak roda pula, Kona diukur 10 mm lebih pendek berbanding HR-V.
SUV ini menampilkan rekaan yang agak tersendiri berbanding saingannya yang lain, dengan lampu nyalaan siang tirus diletakkan pada bahagian atas, manakala lampu utamanya terletak pada bahagian bampar – rekaan unik dengan konsep seperti ditampilkan pada Citroen C4 Cactus. Ia turut menampilkan gril signatur “cascading” seperti model-model terkini Hyundai.
Susunan yang sama turut boleh dilihat pada bahagian belakang dengan menampilkan lampu tirus pada bahagian atas, dan juga lampu kombinasi lain pada bahagian bawah. Menurut Hyundai, karekter unik pada Kona ini adalah hasil gabungan rekaan lampu-lampu yang digelar “lampu komposit”, gril “cascading” dan juga rekaan badan yang seolah-olah diberikan perisai. Kona turut diberikan tema warna dua-tona yang membuatkan bumbungnya kelihatan seperti terapung.
Kona ditawarkan dengan pelbagai pilihan enjin dan transmisi bergantung pada pasaran. Antaranya enjin 2.0 liter MPI Atkinson berkuasa 149 PS/179 Nm (dipadankan dengan transmisi auto enam-kelajuan, 0-100 km/j dalam 10 saat dan kelajuan maksima 194 km/j), manakala di Eropah dan Singapura, ia hadir dengan enjin turbo lebih kecil iaitu 1.0 liter T-GDI tiga silinder yang dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan. Enjin berkenaan mampu menjana 120 PS/172 Nm dan pecutan 0-100 km/j dapat dicapai dalam masa 12 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 181 km/j.
Model berwarna Lime Green yang dibawa ke KLIMS 2018 ini pula adalah versi enjin petrol turbo Gamma 1.6 T-GDI berkuasa 177 PS/265 Nm dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan automatik. Dengan janakuasa tersebut, ia mampu untuk memecut dari 0-100 km/j hanya dalam masa hanya 7.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 210 km/j.
Pada bahagian kabin, ia diberikan paparan head-up, sistem navigasi, sistem bunyi premium dari Krell, sistem pengecas telefon pintar tanpa wayar. Manakala untuk kemasan, kabin ini diberikan elemen warna gelap bersama serlahan warna badan. Sistem keselamatan aktif pula diberikan lengkap dengan bantuan pemanduan seperti yang ada pada Ioniq Hybrid.
Untuk versi elektrik pula, ia dijana motor elektrik berkuasa 204 ps/395 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.6 saat. Ia disuap dengan bateri 64 kWj, membolehkan ia dipandu dalam jarak 482 km dengan satu cas penuh. Versi dijana bateri 39.2 kWj juga ditawarkan, dengan kuasa hanya 135 PS, dan jarak perjalanan hanya 300 km.
Bateri polimer lithium-ion tersebut boleh dicas menggunakan sistem pengecas cepat 100 kW DC (CCS) yang mampu mendapatkan cas 80% dalam masa 54 minit. Manakala dengan pengecas-on-board 7.2 kW, cas dengan arus AC (Type 2) memerlukan sembilan jam 40 minit untuk bateri paling besar, dan enam jam 10 minit untuk pilihan bateri kecil.
Adakah model yang sama seperti yang ditayangkan ini akan ditawarkan di Malaysia? Spesifikasi untuk pasaran tempatan masih belum ditetapkan. Kita mungkin akan menerima model dengan enjin 2.0 liter NA atau 1.6 turbo, dan mungkin juga kedua-duanya. Apa pun, kalau dah tergoda, boleh dah ni mula simpan duit muka.
Source: Read Full Article