KLIMS18: Kia Picanto GT-Line kini dipamer, ada AEB

Sekarang ini, untuk model Kia Picanto yang ditawarkan di Malaysia, cuma ada satu varian sahaja iaitu 1.2 EX, namun ada khabar yang mengatakan, varian KX dan GT-Line juga akan tiba. Kini, satu daripadanya, iaitu GT-Line sudah pun sampai, dan dipamerkan di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS 2018).

Secara visualnya, untuk membezakan varian GT-Line ini dengan model biasa, anda boleh melihat pada bampar depan dan belakang yang lebih sporty serta rim 16 inci yang lebih besar, dibalut tayar 195/45. Melalui penggunaan bampar yang diubah ini juga, lampu kabus telah bertukar tempat, dan ia mempunyai jalur merah di sekeliling kereta dan juga dua muncung ekzos di belakang.

Pada bahagian dalam, Picanto GT-Line ini menggunakan roda stereng yang rata di bahagian bawahnya, serta tempat duduk yang dibalut kulit. Peningkatan lain yang ada padanya adalah termasuk bumbung suria, panel instrumen Supervision, pendingin hawa automatik, perehat tangan depan, cermin solek berlampu, cruise control dan sistem pemerhati tekanan angin tayar.



Apabila diperhatikan pula di bawah tempat letak nombor plet, anda akan dapat melihat satu panel yang menyembunyikan pengesan yang sepatutnya adalah untuk sistem brek autonomous. Ciri ini telah dilaporkan akan ada pada GT-Line, sebagai tambahan kepada sistem keselamatan lain seperti enam beg udara, stability control, ABS dan hill start assist.

Senarai kelengkapan lain adalah sama seperti EX iaitu dilengkapi lampu projector halogen dengan lampu siang LED di hadapan, lampu belakang LED, sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin, kamera undur, enam pembesar suara dan sistem hiburan skrin sesentuh tujuh inci dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto.

Melalui apa yang dilihat bawah bonetnya, Picanto GT-Line ini dikuasakan oleh enjin empat silinder NA Kappa II 1.2 liter yang mampu menghasilkan kuasa 84 PS pada 6,000 rpm dan 122 Nm tork pada 4,000 rpm. Ia dipadankan bersama transmisi automatik empat kelajuan, yang menghantar kuasa ke roda hadapan.

Source: Read Full Article