KLIMS18: Proton Iriz facelift dilihat dalam sesi taklimat

Dalam taklimat media di ruang pameran Proton di KLIMS 2018 hari ini, ada sebuah paparan pada skrin yang menunjukkan model seakan Proton Iriz ketika dalam proses rekaan. Imej berkenaan menunjukkan bahagian wajah depan Iriz dengan agak jelas.

Teks yang turut dilihat pada paparan skrin berkenaan juga ada tertulis; “Usaha sama antara Proton dan Geely untuk membawakan model generasi terbaru bagi barisan kenderaan Proton akan datang.” Menarik untuk perhatikan kerjasama di dalam pembaharuan Iriz ini – ia akan memberi gambaran terhadap kesungguhan Geely untuk memperbaharui model-model sedia ada Proton ke satu tahap lain.

Jika dibandingkan dengan iras dari imej model berkenaan ketika dilihat diuji di jalan raya Malaysia, memang ada persamaan yang boleh dilihat. Dalam video berkenaan, Proton Iriz seakan menerima lampu hadapan reflektor lebih nipis dan bonet diambil terus dari versi sedannya, iaitu Proton Persona.

Namun menerusi bayangan disebalik pelekat penyamaran, gril dan bampar depannya seperti diberi rekaan baru. Rekaan berkenaan nampak lebih agresif manakala lampu nyalaan siang LED pula nampak bersepadu terus dengan liang udara sisi. Ini agak konsisten dengan imej teaser yang dapat dilihat dalam paparan skrin berkenaan.

Dalam video yang muncul sebelum ini, bahagian belakang juga nampak lebih jelas. Kelihatan seperti Iriz seakan menerima rekaan diffuser belakang baru yang begitu menonjol, dan rekaan grafik untuk lampu juga berkemungkinan besar diperbaharui, memandangkan ia turut dikenakan pelekat penyamaran.

Hatchback ini turut berkemungkinan menerima kemasan baharu yang merentangi pintu tailgate belakang, yang kelihatan terbonjol disebalik penyamaran berkenaan. Jadi bagaimana, adakah imej ini memang sah wajah depan Iriz terbaru nanti?

Source: Read Full Article