Pengeluar motosikal dari Korea iaitu Kymco juga percaya bahawa elektrik bakal menjadi sumber penggerak utama bagi motosikal pada masa hadapan. Walaupun lebih terkenal dengan penghasilan motosikal jenis skuter, syarikat itu telah menunjukkan sebuah model supersport konsep elektrik bernama SuperNEX yang cuba memberikan fokus kepada kepuasan penunggang dan mempunyai enam gear seperti motosikal biasa.
Ini adalah berbeza dengan kebanyakan motosikal elektrik lain yang hanya mempunyai satu gear dan dilakukan oleh Kymco kerana mengganggap gear adalah antara aspek penting yang menjamin kepuasan seseorang penunggang. Penggunaan gear untuk menikmati tahap kuasa yang berbeza menjadi simbol kepada kehebatan seseorang dan menjadikan tunggangan lebih memuaskan.
Kemudiannya, satu lagi masalah biasa yang menjadikan motosikal elektrik kurang menyeronokkan adalah ketiadaan bunyi. Melalui SuperNEX, Kymco juga cuba mengubah perkara itu dengan meletakkan Active Acoustic Motor yang boleh menghasilkan bunyi dalam pelbagai frekuensi dan dapat terus menyampaikan operasi motor elektrik kepada telinga penunggang. Melalui bunyi ini juga penunggang boleh tahu kadar rpm dan waktu menukar gear seperti motosikal biasa.
Spesifikasi penuh motosikal sports elektrik ini tidak didedah tetapi Kymco memberitahu ia akan mempunyai lengkung kuasa yang terus meningkat dari kadar rpm rendah hinggalah tinggi, dan tidak akan mendatar di pertengahan seperti kebanyakan motosikal elektrik lain. Catatan prestasinya juga cukup membuka mata dengan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam masa 2.9 saat, 0-200 km/j 7.5 saat dan 0-250 km/j 10.9 saat.
Seperti motosikal moden lain, Kymco SuperNEX juga dilengkapi dengan kelengkapan elektronik lain untuk membantu penunggang dan memastikan kuasa dapat disampaikan ke atas jalan secara optimum. Ia dipanggil sebagai Full Engagement Performance FEP) dan mempunyai sistem yang termasuk Launch Control, Traction Control, Anti-Wheelie Control dan Anti-Wheel Lift tayar belakang).
Source: Read Full Article