Pada Februari tahun lalu, Toyota dikhabarkan sedang membina litar ujian seperti litar ‘The Green Hell’ Nürburgring Nordschleife mereka sendiri yang terletak di Jepun. Kini ia bukan lagi khabar angin kerana litar berkenaan diumumkan telah dibuka dan digunakan.
Litar tersebut adalah sebahagian dari fasiliti ujian di Toyota Technical Center Shimoyama, Toyota City yang terletak di Wilayah Aichi, Jepun. Ia dibina dengan panjang keseluruhan 5.3 kilometer dengan selekoh-selekoh seakan di Nürburgring, dengan perbezaan ketinggian sehingga 75 meter.
Ia akan digunakan untuk simulasi pemandu jalan luar bandar, dan direka dengan mengambil kelebihan topografi kawasan tersebut. Buat masa sekarang, seramai 50 staf sudah pun mula berkerja di litar itu, kebanyakkan dari mereka adalah pemandu uji.
“Dengan sasaran untuk menghasilkan kereta yang lebih baik, kami meneruskan pelbagai usaha dalam “merasai jalan raya” dan “bercakap dengan kereta” menerusi pelbagai ujian pemanduan di seluruh dunia, termasuk Projek Pemanduan Lima Benua dan juga perlumbaan ketahanan Nürburgring 24 Jam. Berdasarkan pengalaman-pengalaman tersebut, kami telah mereplikakan pelbagai jalan di dunia pada litar ujian baharu ini”, kata Presiden Toyota, Akio Toyoda.
“Sebagai tambahan menjalankan ujian pemanduan di seluruh dunia, dan menghasilkan semula keadaan pemanduan yang teruk pada litar ujian baharu ini, kami mahu menggilap sepenuhnya setiap model baharu kami dan membina sebuah kereta yang melambangkan keseronokan memandu yang sebenar,” jelasnya lagi.
Secara keseluruhan, Toyota Technical Center Shiyoma ini mempunyai keluasan 650.8-hektar. Selain dari litar ujian jalan luar bandar ini, ia turut mempunyai fasiliti pembangunan kenderaan, manakala litar ujian kelajuan tinggi pula akan di buka pada tahun 2023 nanti.
Source: Read Full Article